Selangor Perhebat Agenda Tahan Banjir, RS-2 Jadi Teras Perancangan Baharu Negeri

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor pergiat usaha menyeluruh dalam menangani isu banjir dengan pendekatan lebih strategik dan bersepadu, termasuk mempercepat pelaksanaan pelan pembangunan baharu yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keutamaan tersebut menjadi antara fokus utama pentadbiran negeri dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi bencana terus diperkukuh, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Menurut beliau, usaha mitigasi banjir akan terus dipertingkat melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap langkah yang diambil lebih berkesan dan menyeluruh.

“Pendekatan yang dilaksanakan bukan sahaja tertumpu kepada tindak balas semasa, tetapi juga melibatkan perancangan jangka panjang untuk mengurangkan impak banjir secara berterusan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri turut menjunjung titah Sultan Selangor serta mengambil serius setiap teguran, nasihat dan pandangan baginda dalam usaha memperkukuh pentadbiran negeri.

Amirudin turut memaklumkan, laporan prestasi Pelan Selangor Pertama akan dibentangkan bersama cadangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memastikan kesinambungan dasar pembangunan negeri dilaksanakan secara lebih sistematik.

“Pendekatan ini penting supaya setiap dasar bukan sahaja dirancang dengan teliti, malah dapat diukur keberkesanannya serta dipantau secara berterusan,” jelasnya.

Selain itu, aspek pengurusan sisa pepejal turut diberi perhatian dengan kerajaan negeri merancang untuk mempercepat penyelarasan bersama KDEB Waste Management.

Usaha ini termasuk meneliti semula Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 serta memperluas penggunaan teknologi Waste-to-Energy sebagai solusi mampan jangka panjang.

Mengulas cabaran semasa, Amirudin turut menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri tanpa mengira latar belakang politik agar memperkukuh kerjasama dalam mendepani pelbagai isu termasuk kesan ketidaktentuan global, khususnya konflik di Asia Barat yang turut memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa khas serta pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

Beliau menegaskan bahawa pentadbiran negeri akan terus berpegang kepada prinsip utama iaitu mengutamakan kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat dalam setiap keputusan yang diambil.

“Segala perancangan dan tindakan yang dilaksanakan adalah berpaksikan kepada usaha memastikan Selangor kekal berdaya tahan, inklusif dan sejahtera untuk semua,” katanya.

Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *