BERITA UTAMA

Kegilaan apa lagi yang mahu dicipta?

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

IBARAT satu skema berterusan, Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas dan Bersatu terus sahaja mengasak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Kerajaan Perpaduan.

Jelas niat mereka hanya satu – PMX mesti dijatuhkan dan Kerajaan Perpaduan runtuh. Jika tidak demikian, mengapa ada desakan paling terbaru PMX mesti meletakkan jawatan kerana didakwa menyembunyikan titah adendum berhubung isu Datuk Seri Najib Razak.

Tindakan sesetengah pemimpin Pas dan Bersatu bersolidariti dalam Perhimpunan Sokong Najib terkait isu titah adendum jelas menunjukkan sikap dan belang mereka. Yang disokong Najib, tetapi sasarannya PMX.

Boleh dikatakan sampai kepada satu tahap, sesetengah pemimpin Pas tidak lagi dapat menyembunyikan bukan sahaja amarah, tetapi kebencian melampau terhadap PMX.

Mengapa demikian? Walhalnya, Anwar bukanlah asing kepada Pas, khususnya generasi awal dan pelopor Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bukan asing kepada Anwar yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kedua-duanya saling mengenali, paling tidaknya ada persamaan fikrah meskipun berbeza manhaj siasah.

Fikrah yang dimaksudkan ialah untuk menjulang obor Islam sebagai Rahmatan lil Alamin (Islam sebagai rahmat buat seluruh alam). Kedua-duanya pasti sahaja mendukung tradisi ilmu Islam, faham maqasid syariah, memahami pemerintahan dan politik Malaysia mesti bersifat inklusif, sedar orang Melayu masih sahaja ketinggalan dalam pelbagai sudut kemajuan fizikal, khususnya ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi dan kini menghadapi rempuhan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Tidak mengapa jika Anwar telah memilih wadah Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Abdul Hadi memilih bersama Pas. Itu dikatakan perbezaan manhaj siasah semata-mata bukan perbezaan akidah dan syariah.

Pasti sahaja kedua-dua sosok ini percaya Islam aliran Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai pilihan pendekatan terbaik untuk manhaj perjuangan Islam di Malaysia. Tidak mengapa juga jika mungkin seorang memilih manhaj Asyariyyah dan Maturidiyyah manakala seorang lagi berkemungkinan pendekatan Salafi@Ahlul Hadis asalkan sahaja jangan saling menuduh, membidaahkan apa lagi sampai ke tahap takfiri. Yang penting semua umat Islam di Malaysia berfahaman Sunni, aliran sederhana dan sentiasa bersedia untuk bertasamuh.

Mengapa setelah pelbagai usaha dan ikhtiar yang dilakukan Anwar dengan menunjukkan kepekaan dan kecaknaan untuk membantu negeri-negeri yang dikuasai PN, khususnya Pas seperti Kelantan dan Terengganu, malah tidak pula melupakan Kedah dan Perlis, Anwar tetap mahu dimusuhi dan dibenci? Anwar mesti dijatuhkan dan Kerajaan Perpaduan perlu dimusnahkan?

Ironinya bila Anwar bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar terserlah pula kemesraan, kuntuman senyuman, malah berpeluk-pelukan, mungkin tidak keterlaluan jika berkomunikasi menggunakan ungkapan Ana (saya) dan Anta (awak).

Apakah senyuman dan pelukan setiap kali bertemu itu hanyalah wayang, sekadar satu lakonan dan hipokrasi semata-mata. Bila Anwar kembali ke Putrajaya, gerakan akar umbi terus sahaja memburuk-burukkannya.

Anwar ibaratnya “persona non grata”, seorang yang tidak diperlukan oleh Pas. Lihat sahaja sesetengah pemimpin muda Pas yang lancang mengutuk Anwar malah ke tahap “personal vendetta” – dendam kesumat dan kebencian yang berlebih-lebihan.

Kes adendum Najib Razak menyerlahkan kebencian itu. Lihat juga perbahasan di dalam Parlimen betapa sesetengah pemimpin Pas lancang sahaja membidas memburuk-burukkan Anwar. Ketika itu, ketepikan sahaja soal adab dan akhlak Islam meskipun pemimpin-pemimpin yang bercakap fasih sekali memetik ayat-ayat al-Quran dan hadis.

Sejak dua tahun diberi mandat sebagai Perdana Menteri, Anwar sama ada suka atau benci telah menunjukkan prestasi perkhidmatan yang memuaskan, kerajinan beliau ke hulu ke hilir, ke luar negara, turun naik pesawat, menyantuni rakyat ke segenap pelosok negara, bertindak sebagai jurujual dan diplomat serta ketua negara yang progresif, semua itu tidak dapat disangsikan lagi.

Anwar juga memiliki karisma, seni berkomunikasi, seni PR yang jarang-jarang ada pada kebanyakan pemimpin. Seperti kata kolumnis the Star, Joceline Tan, Anwar “is a polished politician”.

Bila bertemu pemimpin dunia seperti Presiden Russia, Perdana Menteri India dan banyak lagi, Anwar seolah-olah telah bersahabat lama dan urusan diplomasi kelihatan sangat lancar, mudah dan ceria.

Di pentas global, Anwar tidak syak lagi seorang pemimpin antarabangsa yang memahami seni diplomasi dan komunikasi cemerlang. Anwar telah juga melonjakkan reputasi negara ke tahap cemerlang di pentas antarabangsa ketika geopolitik dunia yang tidak menentu dan penuh simpang siur.

Kendatipun demikian, Anwar bukan maksum. Ada banyak juga kelemahan Anwar. Beliau bukan tidak boleh dikritik. Tetapi berpada-padalah ketika menyanggah. Suka atau tidak, beliau telah diangkat sebagai Perdana Menteri yang absah.

Ketaatan kepada pemimpin atau ulil amri yang dituntut dalam agama penting difahami dan dihayati. Jika tidak, kita akan terus bercempera sampai bila-bila. Boleh hancur negara, sengsara rakyat dan binasa umat.

Tiada kesempurnaan kepada pemimpin seperti mana tiada juga kesempurnaan kepada rakyat. Jika kita tidak mampu menjadi Imam (pemimpin) yang baik, mengapa tidak kita memilih untuk menjadi makmum (pengikut) yang baik?

Pas khususnya yang dikenali sebagai sebuah parti Islam yang sudah bertapak lebih enam dekad di Malaysia pasti sahaja meletakkan lunas-lunas syariat, akhlak dan nilai-nilai berteraskan Islam sebagai paksi teras perjuangan.

Pas sudah menguasai empat negeri sewajarnya sudah amat matang untuk memahami selok belok permainan siasah di negara ini. Pas sekian lama sebelum ini tercicir, tersingkir, terpinggir dan terkucil dalam arus perdana politik tanah air.

Pas sudah bernikah politik dengan PKR, DAP, Umno dan kini Bersatu. Ingatlah semua itu pengalaman yang seharusnya menyedarkan Pas betapa politik dan urusan pentadbiran di negara ini harus bersikap inklusif.

Tiada sebuah parti pun yang boleh mentadbir secara solo tanpa mengajak pemimpin dari semua kaum lain – Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Dayak dan lain-lainnya dalam satu keterangkuman untuk mentadbir Malaysia.

Demikian Anwar yang kini menerajui Kerajaan Perpaduan@Madani. Inilah formula pemerintahan yang elok setelah sejak satu dekad terakhir kita menyaksikan politik Malaysia yang amat tidak tenteram.

Langkah Sheraton menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu tetap merupakan satu kedurjanaan politik dan membawa kebinasaan. Mengapa mahu lagi menghangatkan suhu politik negara tanpa ada kesudahan?

Tidakkah boleh bersabar untuk menunggu hanya kira-kira dua tahun sahaja lagi pilihanraya umum ke-16 untuk menyerahkan semula kepada rakyat untuk membuat pilihan? Kita negara demokrasi dan rakyat yang akhirnya membuat penentuan.

Maka mengapa mahu menyasarkan Anwar dan Kerajaan Perpaduan yang sedang bekerja untuk rakyat, membangunkan negara dan membawa Malaysia selaras gagasan Madani?

Pas jangan mudah terpedaya dengan propaganda otai-otai politik yang memang benci, cemburu dan tidak senang dengan Anwar. Pas jangan terperangkap dengan kelicikan politik ala-Machievelli di kalangan sekutu-sekutunya.

Seburuk-buruk Anwar dalam tanggapan dan persepsi sesetengah pemimpin Pas, Anwar bukan seorang yang durjana mahu menjahanamkan agama, bangsa dan negara. Anwar yang penulis kenal kekal dengan prinsip hidup beragama, memahami siasah syariah, kuat mendokong tradisi ilmu, berpegang kepada akhlak dan adab, cekal, tabah dan istiqamah meskipun dihina, dikutuk, dan dizalimi.

Percayalah, 50 tahun lagi kita belum pasti boleh menemui seorang sosok pemimpin seperti Anwar Ibrahim yang kalis ujian, tahan dikeji, dan sabar menempuh segala mehnah perjuangan. Anwar tetap sahaja seorang Islamis yang berjiwa nasionalis, progresif, reformis dan globalis yang faham Malaysia harus ditadbir secara inklusif. Jika terdapat kekurangan dan kelemahan Anwar, tegur dan sanggah secara berfakta dan beretika, bukan beremosi untuk semata-mata mengeji. 

Pas jangan melepaskan peluang dan kesempatan terbuka ketika ini. Pilihan terbaik ialah menyertai Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri. Pas jangan mencipta kegilaan yang bukan-bukan, berasa kuat dan bongkak, kelak nanti terbakar dan hangus segala impian. Ingatlah, kuasa hanya sementara! – ND

Penulis ialah bekas wartawan dan bekas pensyarah dalam bidang komunikasi. Kini beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Media dan Komunikasi kepada Senator Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *