Oleh: Concerned Lawyers for Justicw (CLJ)
Siri 1:
KENYATAAN media ini merujuk kepada laporan secara meluas oleh media-media utama negara seperti Bernama, The Star, Utusan, Sinar Harian, MyMetro, Awani, Malaysia Gazette Perak, Southeast Asian Archaeology (SEAArch) dan TV Sarawak berkenaan potensi Kg. Papan yang terletak di daerah Batu Gajah, Perak untuk dicalon dan diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
Perkara ini telah diuar-uarkan oleh Ahli Lembaga Eksekutif Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia, Dr. Goh Ai Tee yang memetik sebagai berkata:
“Bagi kami (ICOMOS), Papan antara kampung baru di sebuah pekan lama yang diwakili dengan baik dan pada masa sama, keaslian tempat ini masih terpelihara. Industri perlombongan bijih timah merosot pada 1970-an hingga 1980-an dan pekan ini khususnya tidak mengalami pembangunan dalam tempoh 50 tahun lepas.
Usaha menyiapkan dokumentasi pekan Papan bagi mendapat pengiktirafan UNESCO telah dilakukan sejak tiga tahun lepas”.
Kenyataan ICOMOS Malaysia ini dianggap sebagai menyambut usaha Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ngar Kor Ming yang ingin mencalonkan tujuh buah kg. baru cina sebagai tapak warisan dunia bawah UNESCO berikutan Kg. Papan merupakan salah satu daripada tujuh buah kampung tersebut.
Menurut laporan Malaysia Gazette Perak bertarikh 6 Disember 2024, tujuh buah kampung baru cina itu dipilih sendiri oleh Jabatan Warisan Negara (JWN). Namun, menurut carian kami di laman web jabatan itu, belum ada apa-apa kenyataan rasmi daripada pihak JWN berkenaan pencalonan apa-apa kampung baru cina kepada pihak UNESCO.
Pencalonan Kg. Papan sebagai tapak warisan dunia UNESCO itu dengan jelas adalah satu usaha untuk mengiktiraf kampung baru dan warisan kebudayaan orang-orang Cina yang pada asalnya dibawa masuk oleh British dan Raja Billah sendiri sebagai pekerja lombong bijih timah di Perak terutama di daerah Larut, Matang, Kinta dan Batu Gajah. Tinjauan CLJ di kawasan Kg. Papan ini mendapati beberapa bangunan lama telah dijadikan sebagai tempat mempamerkan maklumat dan sejarah orang-orang cina dan kampung baru mereka iaitu Pusat Informasi Pelancongan Papan, Galeri Sejarah Kg. Baru Malaysia dan Galeri Warisan Papan.
Terdapat beberapa paparan maklumat dalam Galeri ini dibuat sepenuhnya dalam bahasa Cina dengan tulisan Cina diletakkan lebih besar daripada bahasa Melayu di hadapan pintu masuk galeri dan pusat informasi ini.
CLJ berpendapat bahawa kesemua usaha ini dibuat untuk menonjolkan kebudayaan pendatang Cina yang datang ke Tanah Melayu yang berpotensi menafikan Nilai Universal Sejagat (Outstanding Universal Value -OUV) warisan orang-orang Melayu, masyarakat Mandailing dan Orang-orang Asli di Kg. Papan seperti mana yang diperuntukkan dalam Artikel 1 UNESCO.
Setakat carian yang dilakukan di laman web JWN, pengiktirafan tapak warisan hanya diberikan kepada Istana Raja Billah melalui No. Warta: P.U.(B) 90 bertarikh 29.03.2012. Tiada pengiktirafan diberikan terhadap mana-mana warisan yang mengangkat kebudayaan orang-orang cina dan kampung mereka itu di Kg. Papan oleh JWN. Pengiktirafan UNESCO sepatutnya diberikan kepada Istana Raja Billah itu kerana telah mendapatkan pengiktirafan sebagai tapak warisan di peringkat tempatan.
CLJ menegaskan bahawa identiti utama Kg. Papan adalah warisan orang-orang Mandailing yang berpusatkan Rumah Besar Raja Billah yang dibina pada tahun 1896 dan Masjid Papan serta beberapa unit rumah bercirikan Melayu. Raja Billah berjaya mengukuhkan kedudukan komuniti Mandailing di Kampung Papan dengan membina Rumah Besar itu yang dirujuk sebagai Istana Raja Billah, membangunkan perlombongan bijih timah dan menjadikan kawasan itu sebagai pusat pentadbiran mereka.
CLJ mendapati bahawa ICOMOS Malaysia melalui New Village Working Group mereka telah mengeluarkan laporan penuh yang mengandungi maklumat terperinci mengenai kampung-kampung cina seluruh negara seperti berikut:
a) ICOMOS Malaysia New Village Working Group: Annual Report 1 (15 May 2022) – https://openarchive.icomos.org/id/eprint/2703/1/ICOMOS%20Malaysia%20NVWG_Annual%20Report%201_220515.pdf
b) ICOMOS Malaysia Bew Village Working Group: Annual Report 2 (15 June 2023) – https://openarchive.icomos.org/id/eprint/2907/1/ICOMOS%20Malaysia%20New%20Village%20Working%20Group_Report%202_15%20June%202023.pdf
c) ICOMOS Malaysia Bew Village Working Group: Annual Report 3 (30 June 2024) – https://openarchive.icomos.org/id/eprint/3329/1/ICOMOS%20Malaysia_NVWG_Report%203_20240630.pdf
Tujuan ICOMOS New Village Working Group ini adalah jelas untuk melakukan kajian mengenai potensi kampung-kampung baru cina itu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan dan calon untuk Senarai Warisan Dunia UNESCO sebagaimana yang dicatatkan dalam bahagian pengenalan Report 2 dan Report 3 tersebut.
Antara kampung-kampung baru cina yang telah dikenalpasti oleh laporan-laporan ICOMOS itu untuk dicalonkan sebagai tapak warisan dunia bawah UNESCO adalah seperti berikut:

a) Kampung Baru Berapit, Pulau Pinang;
b) Kampung Baru Sg. Jarom, Selangor;
c) Kampung Baru Cha’ah, Johor;
d) Kampung Baru Pandamaran, Selangor;
e) Kampung Baru Papan, Perak
f) Kampung Baru Sekinchan, Selangor;
g) Kampung Baru Sg. Way, Petaling Jaya, Selangor;
h) Kampung Baru Rasah, Seremban N. Sembilan
i) Kampung Baru Titi, Jelebu, N. Sembilan
Tindakan ICOMOS ini sama sekali bertentangan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berasaskan kepada tiga prinsip utama yang dibentuk semasa Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu:
a) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu – Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan;
b) Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan (kebudayaan lain) ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya; dan
c) Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.
Berdasarkan Report No. 2 ICOMOS sendiri, kami paparkan kesemua usaha untuk menaikkan warisan orang cina di Kg. Papan melebihi warisan orang-orang Melayu yang bertentangan dengan prinsip utama dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Melalui Fungsi Pesuruhjaya seperti yang terkandung dalam Seksyen 6 dan Kuasa menetapkan Tapak Warisan di bawah Seksyen 24 Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), pemeliharaan, pemuliharaan, perlindungan dan promosi serta pengisytiharaan sesuatu tapak warisan adalah di bawah bidang kuasa multak JWN yang diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
CLJ menegaskan bahawa JWN adalah agensi berautoriti untuk menetapkan sesuatu kawasan sebagai Tapak Warisan di bawah Seksyen 24 atau mengisytiharkan sesuatu tapak sebagai Tapak Warisan Kebangsaan di bawah Seksyen 67 (1) yang perlu diwartakan di bawah Senarai Daftar Warisan Kebangsaan yang diperuntukkan bawah Seksyen 23(1) Akta 645 tersebut. Sebarang pemuliharaan kawasan warisan ini perlulah dibuat menurut Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan yang dikeluarkan oleh JWN. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 113 Akta Warisan Kebangsaan 2005, mana-mana orang yang memusnahkan, merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah sesuatu warisan kebudayaan ketara, tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh Pesurujaya yang boleh disabitkan dengan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau kedua-duanya.
Berkenaan pencalonan kepada UNESCO, terdapat satu unit khas dalam JWN untuk menguruskan pencalonan tersebut yang dinamakan sebagai “Bahagian Warisan Dunia” yang mempunyai satu cawangan yang dinamakan sebagai “Cawangan Jaringan Antarabangsa” yang bertanggungjawab dalam hal-hal melibatkan pengiktirafan warisan dunia UNESCO termasuklah urusan pencalonan dan pelobian.
CLJ menegaskan bahawa pencalonan sesuatu tapak warisan kepada UNESCO perlulah melalui Bahagian Warisan Dunia dibawah JWN yang diberi kuasa dan mandat dibawah Akta 645 dalam urusan pemeliharaan dan pemuliharaan sesuatu warisan. Pihak ICOMOS Malaysia mahupun KPKT bukan satu badan yang mempunyai autoriti di bawah mana-mana undang-undang tempatan negara ini untuk mencadangkan, mencalonkan atau menguar-uarkan kepada media mengenai potensi sesuatu kawasan sebagai warisan dibawah UNESCO. Sebarang pencalonan mana-mana kawasan sebagai tapak warisan dunia UNESCO tanpa melalui penilaian dan garis panduan yang ditetapkan oleh JWN adalah sama sekali bertentangan dengan peruntukan Akta 645 dan Peraturan-Peraturan serta Garis Panduan di bawahnya.
Tanpa undang-undang tempatan yang mengimplementasikan peruntukan UNESCO ke dalam undang-undang tempatan beserta dengan punca kuasa yang jelas, tindakan ICOMOS Malaysia ini dilihat sebagai mencampuri urusan sebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia dan cuba mengambil bidang kuasa JWN.
ICOMOS diingatkan supaya tidak bertindak bertentangan dengan kenyataan media mereka yang dibuat pada 14hb Oktober 2023 melalui laman Facebook ICOMOS Malaysia yang mengakui bahawa sebarang pencalonan warisan kepada UNESCO mestilah melalui JWN itu sendiri:
“3. The Operational Guidelines of the World Heritage Convention permits only the State Party represented in Malaysia by the Jabatan Warisan Negara to submit to UNESCO the nomination of any Property for inscription on the World Heritage List”. – ND
Mengenai Concerned Lawyers for Justice (CLJ)
CLJ adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdedikasi untuk menegakkan prinsip keadilan, hak asasi manusia, dan kedaulatan undang-undang. Melalui advokasi dan kempen kesedaran, CLJ berusaha untuk memupuk masyarakat yang menghormati dan melindungi hak semua individu, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252