PETALING JAYA – Rancangan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetengahkan lebih ramai calon muda dalam PRU16 tidak akan mengetepikan pemimpin parti yang lebih berpengalaman, menurut seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Pemimpin itu yang enggan dikenali berkata, parti akan mengambil pendekatan seimbang dalam pemilihan calon.
“Parti akan mengekalkan pemimpin utama yang berprestasi tinggi bagi memastikan keseimbangan,” kata sumber tersebut.
Katanya, Ahmad Zahid dan UMNO serius dalam usaha meremajakan barisan calon, tetapi tidak akan melakukannya dengan mengorbankan pemimpin veteran yang telah terbukti kemampuan mereka.
“Menteri, menteri besar, timbalan menteri, anggota exco, dan wakil rakyat UMNO yang berpengaruh serta rajin bekerja boleh dikekalkan.
“Tetapi, jika ada calon yang lebih baik, mereka yang kurang berprestasi perlu memberi laluan,” kata sumber itu.
Pemimpin itu juga menolak dakwaan bahawa Ahmad Zahid mahu memanjangkan kerjaya politiknya dan menjelaskan idea itu adalah untuk menyediakan pemimpin masa depan serta memastikan peralihan kuasa yang teratur.
“Inisiatif ini bagi menyediakan pentas untuk bakal ‘poster boy’ dan bakal pemimpin, bukan untuk memanjangkan penggal sesiapa,” katanya.
Sumber itu juga berkata, pemimpin berpengalaman seperti Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Azalina Othman Said perlu dikekalkan, manakala tokoh muda dinamik seperti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh perlu diberi peranan penting.
“Zaman telah berubah dan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat bukan lagi mudah.
“Pemimpin senior perlu bersedia untuk berundur secara berhemah, manakala calon muda mesti melalui saringan ketat untuk memastikan mereka mempunyai komitmen dan integriti moral,” katanya.
Pada konvensyen BN Perak bulan lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, penting untuk BN mencalonkan pemimpin muda yang mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, mengambil contoh kejayaan di PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota, yang menyaksikan kemenangan Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Syed Hussien Syed Abdullah.
Ahmad Zahid juga berkata, kesesuaian calon bukan semata-mata berdasarkan usia, tetapi juga pendedahan mereka kepada sokongan akar umbi yang kukuh.
Bagaimanapun, seorang lagi pemimpin UMNO berkata, usaha untuk mencalonkan pemimpin muda mungkin akan menghadapi tentangan dari dalam parti.
“Ia menyebabkan sebahagian pemimpin senior tidak puas hati. Sebagai contoh, dalam pilihan raya sebelum ini, seorang Ketua Bahagian UMNO tidak berkempen untuk calon BN kerana parti memilih calon yang lebih junior.
“Bagaimanapun, jika UMNO dan BN tidak berubah, tiada siapa akan undi kami lagi,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252