Tajuk Utama
    Seleweng RM2.3b dana 1MDB: Najib diarah bela diri

    Titah Adendum tahanan rumah Najib tak dibangkit ketika mesyuarat pengampunan – PM Anwar

    Laporan: Berita Harian

    KUALA LUMPUR – Isu Titah Adendum yang didakwa dititah Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu boleh disahkan kerana beliau sendiri berada dalam mesyuarat itu.

    “Pada masa itu dalam mesyuarat (Pembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023) yang saya hadir, tiada langsung bangkit isu kandungan (Titah) Adendum yang dimaksudkan itu.

    “Pada 29 Januari berikutnya, itu memang dihadiri oleh menteri yang bertanggungjawab iaitu Wilayah Persekutuan dan saya tidak lagi hadir. Setakat itu, saya boleh (nyatakan) dan selain itu, tunggu 6 Januari (2025) keputusan Mahkamah Rayuan,” katanya ketika menjawab soalan sewaktu Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai penjelasan kerajaan berkenaan kewujudan Titah Addendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 pada 29 Januari lalu yang melibatkan permohonan pengampunan Najib.

    Dalam pada itu, Anwar mempersoal apakah munasabah untuk memberikan ulasan kepada isu kewujudan Titah Addendum dan Takiyuddin sendiri sebagai seorang peguam berpengalaman semestinya tahu bahawa sekarang ini kes akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025.

    “Apakah munasabah untuk kita berikan ulasan sebelum peraturan itu… Jawapannya tidak, kerana Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, tidak membolehkan.

    “Maka bagi kita, seperti mana ditetapkan kenyataan Peguam Negara ialah menghormati, memberi kepercayaan kepada institusi undang-undang. Yang boleh saya tambah ialah penglibatan saya hanya pada mesyuarat yang awal iaitu pada 8 Disember 2023. Itu saya hadir dan saya boleh ulas kerana itu belum bangkit soal Adendum,” katanya.

    Tambah Perdana Menteri, Tuanku Yang di-Pertuan Agong ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan, jadi untuk rekod beliau mempersembahkan kepada Tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Najib adalah munasabah kalau diberi pertimbangan.

    “Tuanku Agong ketika itu memberi perkenan. Jadi, ada 11 agenda. 10 dikemukakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang ikut proses biasa, manakala agenda ke-11, Yang di-Pertuan Agong yang pengerusikan minta saya kemukakan hujah tentang rayuan pengampunan Datuk Seri Najib.

    “Ini saya hendak jelaskan kerana saya tahu kes ini sedang dipermainkan pihak tertentu. Jadi ini rekod dan diminitkan. Inilah satu-satu, julung kali di mana permohonan pengampunan itu dibawa menteri bukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

    “Kerana bagi saya pada prinsip kita setuju atau tidak dengan keputusan mahkamah atau dengan hak seseorang untuk merayu, tetapi kita tidak

    boleh nafikan hak untuk pendengaran dalam Lembaga Pengampunan,” katanya.

    Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

    Najib kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai.

    Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

    Menerusi permohonan difailkan April lalu, Najib memohon perintah mandamus bagi memaksa sama ada semua atau satu daripada responden, menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari tahun ini.

    Beliau turut memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, kesemua atau satu daripada responden harus menguatkuasakan ia serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

    Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

    Pada 2 September 2022, beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja dan Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

    Dalam pada itu, Anwar mendedahkan bahawa beliau adalah individu yang memohon supaya permohonan pengampunan Najib didengar di Lembaga Pengampunan.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu dengan proses berkenaan diberi pertimbangan untuk didengar pada mesyuarat yang berlangsung pada 8 Disember 2023. – BHNews

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *