KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia disifatkan sebagai tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selain dianggap sebagai biadab, Menteri Mohamad Sabu tidak boleh sewenang-wenangnya menentukan hala tuju universiti itu tanpa merujuk kepada Canselor dan Ahli Lembaga Pentadbiran institut pengajian tinggi awam itu.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Borhan Ahmad Zakaria menegaskan, Mohamad telah memalukan pentadbiran kerajaan Madani dengan cadangan itu, sekali gus melanggar penekanan tatakelola yang dilaung-laungkan selama ini.
“Apa yang berlaku menunjukkan menteri ini tidak tahu sejarah sama sekali bahawa UPM adalah nama mantan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Putra juga singkatan kepada ‘Pertanian Untuk Rakyat’.
“Saf kepimpinan Perkasa Selangor merafak sembah menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Tuanku Sultan Selangor yang juga Tuanku Canselor UPM dengan tegas tidak berkenan cadangan itu.
“Ketegasan Tuanku Sultan pasti melegakan hati semua pihak baik warga UPM mahu pun rakyat jelata yang mahukan nama Universiti Putra Malaysia dikekalkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Borhan, Perkasa Selangor menasihatkan Mohamad supaya melakukan kerja dan tugasan hakiki sebagai menteri dengan mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah bekalan beras tempatan yang tidak mencukupi untuk keperluan rakyat.
Katanya, hampir dua tahun beras tempatan hilang dan rakyat menghadapi kesengsaraan untuk mendapatkan sumber keperluan itu.
“Bolehlah anggap menteri ini adalah seorang yang tidak menjalankan tugas dengan baik atau dengan tepat, gagal,” tegasnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252