BERITA UTAMA
Pemandu ditahan selepas dikejar lebih 2km, jumpa pistol mainan dalam kereta

Pemandu ditahan selepas dikejar lebih 2km, jumpa pistol mainan dalam kereta

PETALING JAYA – Tindakan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis membawa padah apabila seorang pemandu kereta ditahan selepas dikejar lebih 2km di Kampung Ampang dekat Kuala Lumpur kelmarin.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata pasukan kereta peronda (MPV) Ampang Jaya terserempak sebuah Proton Waja dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Bukit Ampang pada 8.02 malam Jumaat.

Beliau berkata, pemandu kereta itu melarikan diri apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di Jalan Persiaran Ampang.

“Pasukan MPV polis mengejar kereta terbabit dengan bantuan tiga lagi MPV polis. Setibanya di Jalan Indah 3, Kampung Ampang, suspek melanggar salah sebuah MPV polis menyebabkan kedua-dua kenderaan rosak dan terhenti.

“Pemandu kereta itu ditahan di tempat kejadian dengan bantuan orang awam,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, polis menjumpai sebuah beg mengandungi sepucuk pistol mainan dalam kereta dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun yang tidak bekerja itu.

“Motif kejadian disebabkan suspek enggan menjalani pemeriksaan polis dan bertindak melarikan diri,” katanya sambil menambah suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah.

Beliau berkata, suspek direman empat hari hingga 3 Dis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 (memiliki senjata palsu).

Azam sekali lagi menafikan berlaku tembakan membabitkan tangkapan itu seperti tular di media sosial.

“Kita minta orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak benar bersabit kejadian ini.”

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *