TANJONG MALIM – Penyertaan ramai golongan muda dalam UMNO melalui inisiatif Rumah Bangsa disifatkan sebagai satu perkembangan yang positif.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata situasi itu menunjukkan peningkatan minat dan keterbukaan golongan berkenaan terhadap UMNO.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, sambutan yang menggalakkan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya UMNO bagi membina dan memperkukuh hubungan bersama golongan berkenaan.
“Kami (UMNO) mendapat sambutan (untuk menyertai parti) yang begitu menggalakkan, khususnya daripada anak-anak muda, iaitu lebih 60 peratus. Jadi ini menunjukkan satu perkembangan yang baik dan kami akan lebih bersifat ‘engage’ dengan anak-anak muda ini,” katanya di sini hari ini.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 dan Majlis Prapelancaran Anugerah Pendidik Global 2026, di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini hari ini.
Jumaat lalu, Ahli Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, dilaporkan berkata kira-kira 60 peratus atau 6,009 daripada lebih 10,000 permohonan menyertai UMNO sebagai ahli baharu menerusi inisiatif Rumah Bangsa terdiri daripada golongan muda berusia di bawah 40 tahun.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata permohonan yang diterima termasuk melalui sayap Wanita dan Puteri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L