Krisis Keyakinan Pentadbiran Negeri Sembilan,14 ADUN UMNO BN tarik sokongan terhadap MB

SEREMBAN – Landskap politik Negeri Sembilan berdepan pergolakan baharu apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO-Barisan Nasional (BN) mengumumkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap kestabilan kerajaan negeri.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, dalam satu sidang media khas yang disiarkan secara langsung pada Isnin. Menurut beliau, keputusan tersebut dicapai secara sebulat suara susulan ketegangan yang melibatkan institusi adat serta tafsiran terhadap Perlembagaan Negeri.

“Kami hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada,” katanya, sambil menegaskan keperluan mempertahankan institusi adat serta kedaulatan undang-undang negeri tanpa campur tangan politik.

Beliau turut memaklumkan bahawa notis rasmi akan diserahkan kepada pihak Dewan Undangan Negeri bagi memaklumkan pendirian blok UMNO BN itu.

Dalam masa sama, Jalaluddin mendedahkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ADUN BN, khususnya apabila wakil mereka dalam barisan Exco didakwa tidak dimaklumkan atau dilibatkan dalam perbincangan penting berkaitan isu tersebut. Situasi itu, katanya, menyebabkan mereka hanya mengetahui perkembangan selepas krisis menjadi terbuka dan diperdebatkan umum.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Menteri Besar sepatutnya bertindak lebih bijaksana dalam mengurus isu sensitif kerana ia berpotensi menjejaskan pentadbiran negeri serta keharmonian rakyat.

Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Negeri 2023, kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan membentuk majoriti dengan sokongan BN. Daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, PH menguasai 17 kerusi manakala BN memegang 14 kerusi, sementara blok pembangkang terdiri daripada PAS dan Bersatu memiliki lima kerusi keseluruhan.

Perkembangan terbaharu ini dijangka memberi implikasi besar terhadap kestabilan politik negeri dan membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan termasuk penyusunan semula kerajaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *