KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menjunjung kasih Raja-Raja Melayu dengan memohon menarik balik semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Menteri Pelancongan, Tiong King Sing.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, tindakan itu wajar berikutan sikap menteri berkenaan yang tidak memiliki semangat patriotik apabila mengutamakan aduan pelancong mengenai penguatkuasaan papan tanda dwibahasa.
Katanya, tindakan menteri itu juga telah mengundang keresahan dan mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia.
“Perkasa dengan ini menjunjung kasih Raja-Raja Melayu dan memohon untuk menarik balik semua darjah kebesaran yang pernah dianugerahkan kepada menteri ini. Dia tidak layak untuk menerima sebarang darjah kebesaran.
“Mutakhir ini, banyak kenyataan yang dikeluarkan menteri ini menimbulkan keresahan kepada rakyat. Lagi membimbangkan ianya juga menyentuh isu 3R dan menunjukan keterlaluan dengan tindakan yang tidak bijak.
“Antara kenyataan terbaru beliau ialah mempertikaikan penguatkuasaan papan tanda dwibahasa yang secara jelas telah menghina Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan sesetengah pelancong asing tergugat apabila datang melancong ke Malaysia kerana dikatakan ekstrim kepada sesuatu kaum adalah sangkaan jahat yang sengaja mahu memburukkan nama baik negara ke serata dunia.
Katanya, Perkasa yang mewakili rakyat Malaysia juga mendesak mana-mana individu yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan perlu dihukum kerana tidak layak bergelar warganegara.
“Sekiranya seseorang itu pernah dikurniakan darjah kebesaran dari Raja-Raja Melayu, maka Raja-Raja Melayu berhak menarik balik darjah tersebut.
“Kita juga mendesak Perdana Menteri segera menggantikan menteri ini kepada mereka yang lebih memahami serta menghormati Perlembagaan Persekutuan serta memahami tugas sebagai Menteri Pelancongan kerana sektor itu mampu memberi pendapatan khasnya untuk orang tempatan,” ujar beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252