KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang menyokong penuh Belanjawan 2025 negeri itu yang dibentangkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Jumaat lalu.
Belanjawan itu adalah pemacu penting bagi gelombang pertumbuhan baharu atau “next wave of growth” di Pulau Pinang, yang akan membantu memecut pencapaian agenda Penang 2030.
Pengerusi Amanah negeri, Muhammad Faiz Fadzil berkata, belanjawan itu turut menjadi bukti kualiti kepimpinan kerajaan perpaduan di Pulau Pinang dengan anggaran defisit terendah dalam sejarah belanjawan negeri, iaitu RM33.6 juta.
Sebagai perbandingan, katanya, ada negeri yang defisit tahun 2025 mencecah RM99.9 juta.
“Amanah Pulau Pinang yakin pentadbiran negeri ini akan mengurangkan defisitnya menerusi pengurusan perbelanjaan yang lebih efisien dan pengukuhan hasil negeri.
“Dengan hasil negeri dijangka melonjak 70 peratus pada tahun 2025, Amanah Pulau Pinang yakin Belanjawan ini mampu melonjak ekonomi negeri.
“Pulau Pinang, walaupun merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia, ia adalah ekonomi kelima terbesar tanpa banyak bergantung kepada hasil tanah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Faiz, kejayaan itu terus dibina menerusi pengukuhan industri semikonduktor nilai tinggi, pemantapan perdagangan antarabangsa, pelaburan asing berkualiti tinggi dan penciptaan peluang pekerjaan mahir sehinggakan Pulau Pinang menjadi lubuk rezeki rakyat negeri jiran dalam Persekutuan.
Kata beliau, momentum gelombang pertumbuhan baharu Pulau Pinang sudahpun bermula dengan projek Silicon Island, LRT Mutiara, pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan hab rekabentuk litar bersepadu (IC).
“Belanjawan 2025 Pulau Pinang ini dirangka khusus untuk menyokong usaha-usaha ini, tanpa mengabaikan kebajikan rakyat termasuk perumahan, pembangunan sektor agromakanan, usaha memartabatkan masyarakat dan wanita, mengukuhkan ekonomi keusahawanan dan industri halal, melestarikan pengurusan air dan pembangunan hal ehwal agama Islam sebagai tonggak perpaduan rakyat Pulau Pinang.
“Amanah Pulau Pinang juga mengalu-alukan peruntukan RM220 juta untuk tujuan perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2025 Pulau Pinang dan kita turut menyambut baik pengumuman Ketua Menteri bahawa kerajaan negeri akan mewujudkan kolaborasi strategik dengan jabatan atau agensi persekutuan bagi mengoptimumkan sumber peruntukan projek pembangunan negeri, di samping mengelakkan pertindihan manfaat pelaksanaan projek pembangunan kepada golongan sasar sama.
“Tindakan ini bukti kerajaan negeri terus komited dalam memastikan rakyat Pulau Pinang menikmati nilai maksimum bagi setiap seringgit hasil negeri selaras dengan semangat federalism dan kejayaan Belanjawan 2025 bergantung kepada secepat mana ia dilaksanakan tanpa mengabaikan tatakelola serta Amanah yakin pentadbiran negeri yang disokong penjawat awam dan anggota jentera kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan hasrat ini tercapai,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252