KUALA LUMPUR: Syor mewujudkan kembali Majlis Profesor Negara (MPN) atau menubuhkan badan pemikir baharu untuk menggembleng peranan ahli akademik di negara ini bukanlah suatu keperluan untuk dilakukan ketika ini.
Sebaliknya, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Maszlee Malik, berkata kerajaan wajar mengguna pakai keputusan pentadbiran terdahulu iaitu memperkukuh Akademi Profesor Malaysia (APM).
Bekas menteri pendidikan itu berkata, berbeza dengan MPN, APM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang keahliannya terdiri daripada profesor dan profesor madya daripada semua institusi pengajian tinggi di negara ini.
Pertubuhan itu dikendalikan suatu majlis yang dilantik dalam kalangan ahlinya untuk tempoh dua tahun.
“Saya mengikuti perbincangan dan laporan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara). Sebenarnya perbincangan mengenai MPN bukanlah perkara baharu.
“Jemaah Menteri sudah pun membincangkan perkara ini pada 2019, dan membuat keputusan untuk menubuhkan badan baharu, dikenali sebagai APM bagi menggantikan MPN.
“Melalui struktur sebegini, Jemaah Menteri ketika itu berpandangan pertubuhannya dapat benar-benar mewakili pandangan profesor dan ilmuan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, PAC menerusi laporannya menyarankan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji sama ada MPN masih relevan sebagai penggerak kepakaran tenaga akademik dalam membantu kerajaan membangunkan negara atau sebaliknya.
Ini kerana, katanya, jika JPM mahu mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan Kerajaan (CLBG), ia perlu diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), selaras fungsi dan peranannya.
PAC juga menegaskan keberkesanan dan fungsi MPN kepada kerajaan tidak dapat ditentusahkan kerana indeks prestasi utama yang tidak ditentukan serta tidak dilaporkan kepada JPM.
Malah, agihan dana yang tidak disalurkan kepada kluster menyebabkan aktiviti MPN tidak dilaksanakan mengikut matlamat penubuhannya, pada 2014.
Tambah PAC, selepas MPN diserap semula di bawah JPM pada 2021, majlis itu masih menggunakan Artikel Pertubuhan 2019 yang dipinda meskipun sudah menerima dana daripada kerajaan.
Dalam pada itu, PAC berkata, setiausaha syarikat juga dilihat tidak memainkan peranannya dengan berkesan, terutama dalam memberikan nasihat tepat kepada Lembaga Pemegang Amanah mengenai kepatuhan terhadap Artikel Pertubuhan MPN terkini (2019) serta dalam menasihati dalam sebarang keputusan. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252