PUTRAJAYA: Pengasas platform e-dagang, FashionValet sekali lagi akan diambil keterangan susulan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Pasangan suami isteri, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar itu dijadual hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, jam 9 pagi ini.
Difahamkan, proses merakam keterangan mereka yang memasuki hari keempat itu berkait dengan dokumen serta beberapa transaksi didakwa meragukan.
SPRM sebelum ini mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
Azam berkata, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.
Kelmarin, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.- BERITA HARIAN
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252