KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar ganti keseluruhan berjumlah RM1.35 juta kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman fitnah dikemukakan Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary.
Roz Mawar memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM350,000.
Dalam keputusannya, Roz Mawar berkata Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui imbangan kebarangkalian dan kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu adalah tidak berasas serta tidak benar.
Katanya, peguam Muhyiddin menyatakan bahawa bahasa yang digunakan dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak mengapi-apikan.
“Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan sedemikian kerana konteks kenyataan fitnah adalah dalam maksud semula jadi dan biasa menimbulkan sentimen perkauman.
Beliau berkata, Muhyiddin mempunyai sumber yang boleh digunakan oleh beliau untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul mengenai fakta itu, namun tidak berbuat demikian dan terus membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Guan Eng.
Pada 27 Mac tahun lalu, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah di Facebook mengenai dirinya berhubung isu berkenaan pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Laporan berhubung isu itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan terbabit membawa maksud beliau telah menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252