Mahkamah tetapkan 15 Januari tarikh sebutan semula kes Muhyiddin

Mahkamah tetapkan 15 Januari tarikh sebutan semula kes Muhyiddin

GUA MUSANG – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, Ogos lalu.

Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Muhyiddin memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Pada prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili enam peguam peguam diketuai Amer Hamzah Arshad, manakala lima Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Azlina Rasdi bagi pihak pendakwaan.

Terdahulu, peguam mewakili Muhyiddin iaitu Amer Hamzah ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kes berkenaan membabitkan undang-undang yang penting termasuk isu pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, kes terbabit wajar dipindahkan ke peringkat Mahkamah Tinggi untuk didengar Hakim Mahkamah Tinggi kerana membabitkan isu sensitif dan menyentuh beberapa isu penting.

“Kes ini kami akan bahagikan beberapa isu undang-undang penting sama ada Seksyen 3 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Sama ada ia mematuhi Perlembagaan Persekutuan khususnya fasal 10, itu antara satu isu undang-undang yang kita akan bangkitkan.

“Mungkin ada keperluan mahkamah untuk membuat deklarasi bahawa peruntukan terbabit tidak sah dan kuasa untuk membuat deklarasi mana-mana undang-undang (sama ada) tidak sah atau tidak tidak mematuhi Perlembagaan hanya terletak di Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah Sesyen tidak ada bidang kuasa berkenaan, jadi memandangkan akan timbul isu-isu sedemikian, sebab itu kami rasa perlu dipindahkan di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui selepas prosiding sebutan semula kes terbabit.

Menurut Amer Hamzah, pihaknya juga berharap keputusan permohonan itu dapat diketahui dalam bulan ini atau awal bulan depan.

“Kami harap permohonan ini dapat di tetapkan pada bulan ini atau awal Disember depan,” katanya.

Pada 27 Ogos lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *