VALENCIA – Penduduk tempatan melempar lumpur serta memaki hamun Raja, Ratu dan Perdana Menteri Sepanyol, semalam, bagi menzahirkan kemarahan mereka di bandar paling terkesan akibat banjir yang telah meragut lebih 210 nyawa.
Hujan lebat terus membadai wilayah Valencia selepas Raja Felipe VI bersama Ratu Letizia dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, terpaksa meninggalkan Paiporta di mana lebih 70 maut susulan banjir pada Selasa lalu.
Dalam kejadian semalam, balingan lumpur dilihat mengenai muka serta pakaian Raja dan Ratu ketika pasangan diraja berkenaan cuba menenangkan kumpulan penduduk yang berang, termasuk berhubung isu respons terhadap bencana besar itu yang menyebabkan sekurang-kurang 217 kematian dan ramai lagi dilaporkan masih hilang.
Raja bersama Ratu Sepanyol melawat pusat krisis di Paiporta, namun pengawal keselamatan tambahan terpaksa menjauhkan orang ramai yang melaungkan slogan amarah, dari baginda berdua dan Perdana Menteri. Pengawal keselamatan turut menggunakan payung untuk menghalang balingan lumpur daripada mengenai pasangan diraja itu.
Bagaimanapun, Raja Felipe VI kemudian bertitah, Sepanyol perlu ‘memahami kemarahan dan kekecewaan’ penduduk yang terjejas dengan kemusnahan di bandar-bandar yang antara lain menyaksikan banyak kenderaan tertimbus dalam lumpur di jalanan.
Dalam satu rakaman video melalui media sosial, Raja itu meminta orang ramai menghulurkan dukungan kepada mangsa dengan memberi ‘harapan dan jaminan bahawa seluruh negara bersama-sama mereka’.
Sebahagian besar kemarahan penduduk terbabit dilihat menjurus kepada Sanchez dan ketua kerajaan wilayah Valencia, Carlos Mazon.
“Saya memahami kemarahan orang ramai dan sudah tentu saya di sini untuk menerimanya. Ini adalah tanggungjawab politik dan moral saya,” kata Mazon dalam satu hantaran melalui X.
Tingkap belakang kereta Sanchez pecah sebelum beliau dan ahli politik tempatan segera beredar dalam kejadian itu, Pemimpin sosialis terbabit menekankan walaupun beliau bersimpati dengan ‘kesedihan dan penderitaan’ mangsa, beliau mengutuk ‘semua bentuk keganasan.’
Media Sepanyol kemudian melaporkan kemungkinan pembabitan kumpulan berhaluan paling kanan dalam insiden berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Maria Jesus Montero, memberi reaksi terhadap dakwaan itu melalui X dengan berkata: “Kita tidak akan membiarkan kumpulan radikal mengambil kesempatan atas penderitaan rakyat.”
Semalam, agensi meteorologi Sepanyol mengeluarkan ‘amaran merah’ untuk ribut baharu di wilayah Valencia sebelum hujan lebat mula melanda pada waktu malam.
Polis turut menggunakan pembesar suara bagi menggesa penduduk Valencia terus berlindung di dalam rumah. Walaupun tahap amaran itu kemudian diturunkan, sekolah di Valencia kekal ditutup, hari ini.
Dalam bencana kali ini, orang ramai mendakwa pihak berkuasa gagal memberi amaran mencukupi sebelum banjir melanda dan lambat bertindak selepas itu. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252