PETALING JAYA – Seorang pemimpin UMNO mempersoalkan impian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Redzuan Yusof yang mahu melihat parti Melayu bawah satu gabungan, sedangkan beliau sendiri kelihatan terpinggir.
Dalam temubual Utusan Malaysia semalam, Redzuan berkata, beliau akan sedaya upaya merealisasikan hasrat itu menggunakan ‘strategi diplomasi’ untuk berbincang dengan Ketua UMNO, Bersatu dan Pas.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi menyifatkan naratif Redzuan, yang akan mempertahankan jawatan dalam MPT pada pemilihan sebagai ‘basi’.
“Siapa Redzuan yang bermimpi menyatukan parti orang Melayu? Dia sendiri terpinggir dalam Bersatu dan duduk dalam parti yang berpecah,” katanya kepada FMT.
Menurut Puad, peluang untuk bergabung dengan UMNO sudah berlalu. “UMNO sudah serik dengan Pas dan Bersatu dan tidak mahu masuk ‘lubang biawak’ kali kedua.
“UMNO lebih berminat mencari rakan kongsi kuasa yang ada kejujuran politik,” katanya.
UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan perpaduan bersama tiga gabungan lain iaitu Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah.
UMNO dan Pas pernah bekerjasama bawah Muafakat Nasional (MN) selepas PRU14 sebelum hubungan kedua-duanya tegang pada 2020, apabila Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu, sekali gus mahu parti serpihan UMNO itu turut menyertai MN.
UMNO membantah keras tindakan Pas itu kerana menganggap Bersatu ‘pengkhianat’ yang berusaha ‘membunuhnya’.
Sementara itu, pada Julai lalu UMNO membayangkan tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presiden, lapor Sinar Harian memetik ucapan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nadzir Helmi berkata, kerjasama tidak akan berlaku jika tidak mahu bekerjasama dengan presidennya.
“Beliau mewakili parti, maka kalau tidak mahu bekerjasama dengan presiden, maknanya tidak bekerjasama dengan Pas,” tegasnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252