PETALING JAYA – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, UMNO hanya boleh kembali berkuasa jika dapat membongkar punca kegagalan 1MDB.
Dalam catatan di X, Zaid berkata, sebab utama parti itu digulingkan daripada pemerintahan adalah kerana kontroversi yang dicetuskan oleh cabang pelaburan negara itu.
“Memenjarakan satu individu tidak akan dapat mencari punca,” tulisnya, merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Tetapi memenjarakan semua orang yang bertanggungjawab atas kegagalan itu (boleh mencari punca),” katanya dipetik FMT.
Catatan Zaid itu, yang pernah mewakili Najib seketika dalam rayuannya terhadap sabitan kes SRC International, dibuat beberapa hari selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan mantan Perdana Menteri membela diri atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Zaid berkata, gesaannya agar UMNO mencari punca kemelut 1MDB bukan sekadar menyelamatkan seorang pemimpin, tetapi memastikan parti itu dominan dan relevan.
“Bagaimana? Dengan memperjuangkan pembaharuan sebenar untuk memastikan institusi itu cukup kuat untuk menghalang satu lagi 1MDB,” katanya.
Beliau juga berkata, dirinya pernah mengkritik UMNO secara keras disebabkan sikap lalai terhadap Najib dan isu 1MDB.
Bagaimanapun jelasnya tindakan itu dibuat kerana mahu UMNO menjadi kuat.
Minggu lalu, Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung skandal 1MDB.
Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun, dikurangkan daripada 12 tahun, selepas disabitkan kesalahan atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan dana milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252