KUALA LUMPUR – Seorang penuntut Malaysia di United Kingdom (UK) yang meletakkan bayi baru dilahirkan dalam kotak bijirin sejurus selepas kelahiran pada Mac lalu dan menyembunyikannya dalam sebuah beg pakaian dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun.
Hukuman itu dijatuhkan Mahkamah Mahkota Warwick ke atas Jia Xin Teo, 22, pada Jumaat semalam, selepas disabitkan atas kesalahan membunuh, menurut kemas kini terbaharu di laman sesawang Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota UK (CPS).
Terdahulu, Bernama melaporkan mahkamah mendapati Teo bersalah pada Khamis (24 Okt).
Teo, seorang penduduk Coventry yang tiba di UK awal tahun ini untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Coventry, menyembunyikan kehamilannya dan melahirkan bayi pada 4 Mac.
Dia kemudian meletakkan bayi itu dalam kotak bijirin, yang dimasukkan ke dalam beg plastik dan disimpan dalam sebuah beg pakaian.
Polis menemui bayi berkenaan dua hari kemudian, di mana bayi itu telah meninggal dunia.
Teo menafikan membunuh bayinya, mendakwa dia mendengar suara yang mengarahkannya untuk membunuh anak tersebut. Namun, juri menolak pembelaannya dan mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh.
James Leslie Francis daripada CPS berkata, “Jia Xin Teo menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenali dan tiba di UK dengan mengetahui bahawa dia mungkin akan melahirkan bayi itu di sini.
“Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan, tetapi sebaliknya memilih untuk merahsiakannya, malah sanggup berbohong kepada orang yang rapat dengannya, kepada penyedia penjagaan kesihatan dan polis.
Francis menambah, “Bayi Teo masih hidup selepas dilahirkan dan boleh bertahan, tetapi Jia Xin Teo membuat keputusan untuk meletakkannya dalam kotak bijirin, dengan mengetahui bahawa tindakan itu akan membunuhnya”. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252