Perkasa terima permohonan maaf Najib

Perkasa terima permohonan maaf Najib

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menerima permohonan maaf mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kehilangan banyak dana 1MDB.

Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, dari awal lagi NGO itu percaya skandal 1MDB berpunca daripada kelemahan dan kecuaian Najib kerana mudah diperdayakan oleh penyangak seperti Jho Low dan rakannya.

“Saya bagi pihak pimpinan tertinggi dan seluruh ahli Perkasa dengan ini menerima permohonan maaf Najib yang telah membuat pengakuan di bawah pengawasannya selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bahawa negara telah kehilangan banyak dana dan malu kerana skandal 1MDB.

“Negara menjadi huru hara kerana skandal 1MDB. Banyak pihak juga terbabit kerana terpengaruh dengan Jho Low yang mereka percayai segala arahannya adalah kehendak Najib kerana hubungan yang sangat rapat penipu itu dengan Najib.

“Pengakuan berkenaan derma USD681b yang Najib mengaku datang dari kerabat Saudi sememangnya majoriti rakyat tidak percaya. Jelas hari ini Najib mengakui ianya bukan dari kerabat Saudi, tetapi dari 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Syed Hassan, jika dari awal Najib mengaku kelemahan, kesilapan dan kecuaian itu serta meletak jawatan segera sejak skandal 1MDB terdedah kerana rasa bertanggungjawab atas segalanya sebelum PRU14, pastinya parti seperti Bersatu dan Putra tidak tertubuh dan Barisan Nasional (BN) akan kekal berkuasa selepas PRU14.

Bagaimanapun, katanya, nasi sudah menjadi bubur dan apa pun kesediaan Najib memohon maaf secara terbuka mengaku kesilapan serta kecuaian atas skandal 1MDB, Perkasa pasti ianya memberi kelegaan banyak pihak.

“Perkasa nasihatkan Najib tidak perlu lagi membuang masa turun naik mahkamah. Sebaiknya mengaku sahaja bersalah untuk semua pendakwaan dan menanti hukuman dijatuhkan dan semua hukuman boleh dijalankan serentak dengan hukuman sekarang.

“Dengan itu bolehlah fokus pengampunan muklak dari YDP Agong dan mohon mendapat sokongan dari Sultan Pahang sendiri untuk menjalani penahanan di rumah sehingga tempoh yang ditetapkan.

“Jika semua kes telah selesai segera dan dijatuhkan hukuman, Perkasa akan menjadi pihak di hadapan sekali merayu pengampunan untuk Najib bagi menjalankan hukuman tahanan di rumah,” katanya.

Beliau berharap masyarakat menerima permohonan maaf Najib atas kesilapan dan kecuaiannya dalam skandal 1MDB.

Perkasa, katanya, tidak lupa banyak jasa Najib untuk negara dan rakyat, malah ekonomi negara melonjak naik dan rakyat tidak putus menerima bantuan sebelum tercetusnya skandal 1MDB sehingga BN kalah 2018.

“Perkasa doakan Najib sihat dan diampuni Allah. Semoga dengan permohonan maaf Najib ini juga boleh membuatkan rakyat kembali bersatu, terutama orang Melayu dalam keadaan berpecah berpunca dari skandal 1MDB.

“Sekali lagi Perkasa seru semua masyarakat tidak kira bangsa dan agama dapat memaafkan Najib,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *