Najib terluka kecurangan 1MDB, tapi bukan dalang penyelewengan

Najib terluka kecurangan 1MDB, tapi bukan dalang penyelewengan

“SETIAP hari saya berasa amat terluka mengetahui bahawa segala kecurangan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.”

Itu kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib dalam sidang media, hari ini.

Menurut Najib, beliau terpanggil untuk membuat kenyataan berikut susulan pelbagai perkembangan terkini yang signifikan berkaitan dengan 1MDB dan sepanjang menjalani hukuman penjara selama 26 bulan.

Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung kejadian salah laku dalam 1MDB.

Beliau berkata, perbicaraan mahkamah baru-baru ini dan sabitan kes terhadap dua eksekutif syarikat PetroSaudi oleh Mahkamah Switzerland membuktikan bahawa beliau bukanlah dalang di sebalik penyelewengan itu.

Malah, Najib menegaskan, artikel terkini yang diterbitkan akhbar The Edge berdasarkan kepada analisis mereka terhadap kes tersebut serta e-mel dalaman PetroSaudi jelas membuktikan beliau tidak bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Rumusan daripada artikel yang diterbitkan oleh The Edge telah menyatakan bahawa PetroSaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdayakan saya.

“Saya tidak sedar bahawa PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya tidak langsung mengetahui bahawa saya telah menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Seperti mana yang telah ditetapkan dalam prosiding mahkamah, memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada tahun 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi. Sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau pun sivil,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, Najib mengakui beliau sepatutnya mengambil tindakan berbeza apabila mengetahui berlakunya kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku di 1MDB.

Beliau menjelaskan telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan, namun cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.

Najib berkata, kebimbangan utamanya apabila mula curiga tentang apa yang telah berlaku di 1MDB adalah kepada usaha memulihkan kedudukan kewangan dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dan dua hala di peringkat tertinggi.

“Saya telah pun dihukum dari segi politik walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang atau pun mastermind kepada segala penyelewengan dalam 1MDB dan tidak pernah sekali pun bersubahat dengan Jho Low.

“Justeru, saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang. Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan tidak bermoral dan pelanggaran undang-undang yang berlaku di 1MDB.

“Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC (International Sdn Bhd) dan juga 1MDB, namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau mengetahui secara sedar adalah tidak adil kepada saya.

“Saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh untuk keputusan sama ada Datuk Seri Najib Razak perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan penyelewengan dana 1MDB.

Tarikh itu ditetapkan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, selepas selesai mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan melalui prosiding berlangsung selama 12 hari yang dikemukakan pihak pendakwaan dan peguam bela Najib.

Sekiranya hakim bicara mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib, maka bekas Perdana Menteri itu hendaklah membela diri terhadap semua tuduhan berkenaan.

Jika mahkamah memutuskan sebaliknya, Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan.

Najib didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 September 2018 dan kes itu dibenarkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018, manakala perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.

Antara saksi penting dipanggil memberikan keterangan termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *