BERITA UTAMA
Kiribati kritik pelancaran peluru berpandu Beijing

Kiribati kritik pelancaran peluru berpandu Beijing

WELLINGTON – Presiden Kiribati yang menyokong China berkata negaranya tidak mengalu-alukan ujian peluru berpandu balistik terbaru Beijing di rantau Pasifik.

Ia adalah satu kritikan jarang berlaku daripada sekutu serantau yang kukuh.

Dalam satu hantaran di media sosial, pejabat Taneti Maamau menyatakan bahawa negara Pasifik Selatan itu tidak diberi amaran mengenai pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pada penghujung September lalu.

“Kiribati tidak mengalu-alukan ujian ICBM China yang terbaru, termasuk negara-negara lain yang telah menguji senjata serupa dalam tempoh yang lalu,” kata kenyataan itu pada Ahad.

“Lautan luas di Pasifik bukanlah kawasan terpencil… oleh itu kami menyeru semua negara yang terbabit dalam ujian senjata, untuk menghentikan tindakan ini demi menjaga keamanan dan kestabilan dunia,” katanya.

Ini adalah ujian senjata pertama oleh Beijing dalam tempoh empat dekad dan mencetuskan kritikan keras dari seluruh kawasan Pasifik Selatan, di mana kepala peledak tiruan itu jatuh ke laut.

Namun, respon seumpama dari Kiribati mengejutkan banyak pihak.

Maamau telah memutuskan hubungan dengan Taiwan pada 2019, dengan harapan bahawa hubungan dengan Beijing akan membantu Kiribati mencapai matlamat pembangunan yang bercita-cita tinggi pada 2036.

Beliau menandatangani perjanjian kepolisian yang membawa pegawai beruniform China ke ibu kota Tarawa.

Tindakan itu menimbulkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) dan di kalangan sekutunya, yang sudah berwaspada terhadap cita-cita diplomatik dan ketenteraan China di Pasifik.

Beberapa penganalisis Barat mendakwa bahawa aktiviti China di Kiribati (termasuk penempatan polis hingga mengkaji landasan baharu di Pulau Kanton dan pemetaan marin yang meluas) merupakan pegangan untuk mewujudkan jejak keselamatan yang lebih besar.

China menafikan dakwaan itu dan tenteranya telah menggelar ujian peluru berpandu itu sebagai ‘rutin’.

Maamau telah dikembalikan ke Parlimen dalam pilihan raya baru-baru ini dan beliau ialah pilihan utama untuk memimpin kerajaan seterusnya. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *