Air mata Man Kidal tumpah demi Amy Search

Air mata Man Kidal tumpah demi Amy Search

KUALA LUMPUR – Di sebalik imej ranggi dan wajah serius yang sering dilihat ketika beraksi di pentas, siapa sangka, hati gitaris terkenal, Man Kidal, cukup sensitif apabila isu mengenai kecaman terhadap vokalis kumpulan Search, iaitu Datuk Amy, dibangkitkan.

Biarpun cuba ditahan, namun gugur juga air mata Man Kidal tatkala meluahkan rasa kecewa terhadap sikap biadab segelintir netizen yang gemar melontar komen berbisa tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Man Kidal atau nama sebenar, Abdul Rahman Mahmood, 61, menyelar tindakan segelintir netizen mengkritik Amy yang disifatkan melampau.

“Kami bukan tidak boleh terima kritikan. Kami juga tidak harapkan pujian. Cuma, dalam hal ini, saya tahu mereka yang membuat komen negatif terhadap Amy ada banyak tujuan.

“Ada yang sengaja memancing emosi, mahu tunjuk pandai dan ada yang bersifat peribadi. Apa yang membuatkan saya sedih apabila komen yang dilontarkan adalah biadab dan melampau batas.

“Di mana rasa hormat mereka terhadap seorang legenda yang sudah menghabiskan empat dekad daripada usianya (Amy) untuk seni,” katanya kepada BH Online.

Sebagai insan yang rapat dengan Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman, Man Kidal melihat kesungguhan sahabatnya itu menjayakan Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 21 September lalu.

“Komitmen ditunjukkan Amy untuk konsert itu sangat tinggi. Kami semua bekerja keras demi menjayakan konsert itu.

“Untuk individu yang sudah mencecah usia 66 tahun, Amy memberi yang terbaik. Bagi saya, persembahannya pada malam itu sudah banyak berubah jika hendak dibandingkan sebelum ini.

“Bayangkan, dia sendirian menyanyi untuk tempoh tiga jam. Bagi seorang legenda rock sepertinya, Amy tidak perlu pun hendak buktikan apa-apa kepada peminat.

“Bagi saya kecaman yang dilemparkan itu lebih kepada fitnah,” katanya.

Bekas gitaris kumpulan Lefthanded itu berharap semua pihak dapat berfikir secara rasional dan berlapang dada dengan tidak mengaitkan kontroversi yang menimpa kumpulan Search dengan mutu persembahan mereka.

“Kita faham perkara ini ada kaitan dengan berpuak-puak. Tetapi biarlah ada batasan dan tidak bercakap sesuka hati.

“Orang cakap belakang kita pun sudah rasa sakit hati, apa lagi kalau cakap secara terang-terangan. Kami berjuang atas nama seni dan kita ada impian untuk jadi band terbaik dunia.

“Kalau tidak ada benda baik yang hendak cakap, lebih baik diam sahaja. Tidak perlu sampai tahap memfitnah,’ tegasnya.

Man Kidal mengulas insiden Amy dikecam pengguna Facebook (FB) yang mendakwa dia gagal membawa lagu Pawana dengan baik ketika menjayakan konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Man Kidal bakal beraksi pada Konsert Amal Legends anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di Sabah International Comvention Centre, Kota Kinabalu, pada 1 November ini.

Mengulas pembabitan dalam acara itu, Man Kidal menganggap kehadirannya sebagai sumbangan kepada KARYAWAN yang pernah membantunya, suatu ketika dahulu.

“Ketika saya sakit, KARYAWAN banyak bantu. Saya sangat menghargainya. Dengan bantuan mereka, saya makin sihat dan boleh kembali mencari rezeki.

“Saya tidak akan lupa jasa mereka. Jadi, tibalah giliran saya untuk beri semula kepada penggiat seni yang memerlukan,” katanya.

Selain Man Kidal, Konsert Amal Legends menampilkan Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah serta artis kelahiran Sabah iaitu Azharina Azhar, Ayu Damit, Jimmy Palikat, Mad Sabah, Daniesh Suffian dan Hairee KOOL. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *