PETALING JAYA: Bersatu perlu bersedia berdepan perpecahan mungkin berlaku kesan pertandingan jawatan naib presiden yang sebelum ini dicadangkan tidak dipertandingkan menerusi ‘pelan kompromi’ dicadangkan pimpinan.
Menerusi perancangan diumum Julai lalu, penyandangnya Ronald Kiandee dan Radzi Jidin selain Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.
Bagaimanapun, tiga lagi disahkan bertanding pada pemilihan bulan depan iaitu Ketua Penerangan Razali Idris, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata situasi itu menunjukkan Bersatu meraikan demokrasi walaupun Presiden Muhyiddin Yassin mencadangkan pelan kompromi bagi lima jawatan utama.
Ia termasuk kedudukan Muhyiddin dan dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin yang tidak dicabar bagi jawatan presiden serta timbalan presiden pada pemilihan itu.
Ariff bagaimanapun tidak menolak akan berlaku perpecahan dalam Bersatu sekiranya kekalahan nama besar tidak diurus dengan baik.
“Secara tidak langsung kekalahan nama besar dalam pertandingan boleh bawa implikasi perpecahan atau mengukuhkan parti.
Apa sahaja kesan dari pertandingan bergantung kredibiliti pemimpin atasan untuk cuba menjernihkan keadaan apabila ada insiden politik tidak diingini, katanya.
Ahmad Faizal, Kiandee dan Radzi disifatkan sebagai antara nama besar dalam Bersatu kerana memegang jawatan tertinggi dalam parti selain pentadbiran kerajaan.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berkata mereka yang kalah perlu akur dengan keputusan perwakilan dan menyokong pemenang jika ingin melihat Bersatu ke hadapan.
Kalau kalah perlu akur, terus sokong parti, katanya.-FMT
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252