BERITA UTAMA
Musim tengkujuh dijangka bermula November, lalui enam episod hujan lebat

Musim tengkujuh dijangka bermula November, lalui enam episod hujan lebat

PUTRAJAYA – Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula pada bulan depan dan berterusan sehingga Mac 2025.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata, sepanjang tempoh itu, Malaysia diramal melalui empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan.

“Biasanya, episod hujan lebat ini akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang, dari November hingga Disember ini.

“Sementara Disember ini hingga Januari depan, hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya dipetik Astro Awani ketika berucap pada Forum Iklim Kebangsaan 2024, Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Pihak Hadapan, di sini hari ini.

Selain itu, Ambun memberitahu, hujan berterusan juga mungkin berlaku di negeri-negeri pantai barat sekiranya terdapat luruan monsun yang kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara.

Kebanyakan tempat, katanya, dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata, kecuali beberapa kawasan di utara dan timur Semenanjung serta timur Sabah yang dijangka menerima hujan sedikit di atas paras purata pada fasa awal Monsun Timur Laut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada penghujung Monsun Timur Laut, iaitu dari Februari hingga Mei tahun depan, beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia seperti di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami cuaca yang kering dan kurang hujan.

“Masalah jerebu setempat dan rentas sempadan serta gelombang haba juga boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

“Dalam usaha menangani masalah jerebu, METMalaysia mengambil inisiatif menghasilkan model sebaran aerosol dan agen pencemar atmosfera bagi menyokong operasi harian jabatan, terutama semasa musim jerebu dan kering,” ujarnya.

Selain itu, menurut beliau, jabatan berkenaan itu menyediakan Fire Danger Rating System (FDRS) untuk mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk berlaku kebakaran hutan serta tanah gambut.

“Dalam memantau cuaca semasa Monsun Tumir Laut, Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional (POCGN) yang beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu akan memberikan maklumat, ramalan cuaca dan amaran cuaca buruk apabila keadaan memerlukan,” ujarnya.

Menurut Ambun lagi, maklumat, ramalan cuaca dan amaran hujan lebat, laut bergelora dan angin kencang yang dikeluarkan akan disebarkan melalui pelbagai medium seperti laman web, media sosial, media elektronik, media cetak dan aplikasi mobil myCuaca. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *