BERITA UTAMA
Isu tak sambut salam Mohamad Sabu: Ini penjelasan CEO MADACorp

Isu tak sambut salam Mohamad Sabu: Ini penjelasan CEO MADACorp

ALOR SETAR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang MADA (MADACorp), Abdullah Ismail, memohon maaf atas kekhilafan beliau tidak menyambut tangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, untuk bersalam sekali lagi pada satu acara dekat sini, kelmarin.

Abdullah menjelaskan, terdahulu beliau sudah bersalam dengan Mohamad sebaik saja menteri itu tiba ke Program Sentuhan Madani di pekarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar.

“Saya ingin merujuk kepada video tular mengenai isu saya tidak bersalaman dengan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika beliau membuat lawatan kerja di Kedah pada 30 September lalu.

“Untuk makluman semua, saya telah bersalaman dengan Menteri (Mohamad) sebaik saja beliau keluar dari kereta. Kemudian saya mengiringi beliau bersalaman dengan pegawai lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, ketika mengiringi Mohamad bersalaman dengan pegawai lain, menteri itu menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengannya.

Oleh kerana telah bersalam dengan Mohamad sebelum itu, katanya, beliau menjadi terkedu dan terkhilaf apabila tidak bersalaman sekali lagi dengan menteri berkenaan.

“Justeru, saya dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan saya kerana tidak menyambut salam sekali lagi Menteri dan ingin memohon maaf atas salah faham yang telah berlaku.

“Akhir sekali, saya harap penjelasan dan permohonan maaf saya diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatan saya,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan Abdullah dilihat seolah-olah enggan bersalaman dengan Mohamad yang melakukan lawatan kerja ke Kedah pada Isnin lalu.

Sementara itu Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Firdaus Shater, dalam satu kenyataan pula melahirkan kekesalannya terhadap tindakan Abdullah berkenaan yang dianggap sebagai tidak cermat dan tidak profesional.

Beliau menyifatkan insiden itu tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat-menghormati, kerjasama dan komunikasi beradab, malah bertentangan nilai Islam yang menuntut adab terhadap pemimpin serta sesama insan.

“Sebarang tindakan memperlekeh atau tidak menghormati pemimpin, apatah lagi secara terbuka, adalah satu perbuatan tidak sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap hormat dan adab.

“AMANAH Kedah berpandangan jika terdapat sebarang perbezaan ideologi politik, seharusnya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk saling menghormati, terutama dalam kalangan Melayu Islam,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyiasat insiden berkenaan bagi mendapatkan cerita sebenar daripada pegawai yang berada di lokasi dan juga daripada Abdullah sendiri. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *