ALOR SETAR – Pejabat Menteri Besar Kedah mengesahkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berada di luar negara.
Namun, kata pejabat itu, ia bukan atas tujuan bercuti atau melancong ketika beberapa daerah di negeri Jelapang Padi itu dilanda banjir serta ribut seperti yang didakwa.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar itu, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika ini berada di Kumamoto, Jepun atas urusan rasmi iaitu untuk mempelajari proses pengurusan operasi empangan bawah tanah di wilayah berkenaan.
“Ini kerana satu projek alternatif akan dijalankan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah bagi memenuhi keperluan pengguna di Pulau Permata Kedah itu sehingga tahun 2040,
“Projek terbabit adalah di bawah Bahagian Bekalan Air, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC),” jelas kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, projek untuk membina empangan air bawah tanah di Langkawi yang dijangka siap pada tahun 2028, adalah yang pertama di Asia Tenggara.
Empangan berkenan amat diperlukan bagi mengatasi masalah bekalan air di Langkawi yang sering terjejas sekali gus mencemarkan imej sebagai antara pulau pelancongan yang terbaik di dunia.
“Turut serta dalam lawatan sambil belajar itu ialah beberapa staf pengurusan dan teknikal Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK),
“Jepun sememangnya memiliki teknologi, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi dalam pengurusan empangan bawah tanah, selain di Kunamoto, empangan yang sama juga terdapat di Okinawa,” tambah kenyataan itu lagi.
Lawatan berkenaan juga dimaklumkan sudah diatur lama iaitu selepas keputusan dibuat dalam mesyuarat LSANK bertarikh 1 April 2024.
Dalam pada itu, delegasi Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai Muhammad Sanusi telah berangkat ke Jepun pada 17 September lalu iaitu beberapa hari sebelum banjir teruk melanda Kedah.
Ketiadaan Menteri Besar Kedah di tanah air disifatkan tidak akan menjejaskan operasi bantuan kerana agensi kawalan, bantuan dan keselamatan sedia ada di bawah kerajaan negeri dan Pusat yang mana diyakini mampu menangani situasi dengan efisien.
“Walaupun berada jauh di luar negara, Menteri Besar sentiasa mengikuti setiap perkembangan bagi memastikan beban bencana yang dihadapi oleh semua mangsa banjir Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan,
“Maka, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk fitnah disebar dalam keadaan kita menghadapi musibah seperti ini walau atas apa tujuan sekalipun,” tegas kenyataan itu lagi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252