Oleh: Ismail Daud
RANTAU PANJANG – Perarakan sambutan Maulidur Rasul sejauh kira-kira 500 meter dari Chabang Empat Salam ke masjid Kg Gertak 3, dekat ini berlangsung dengan agak meriah.
Perarakan julung kali dianjurkan masjid itu disertai seramai 250 penduduk setempat termasuk kanak-kanak.
Sepanjang perarakan itu, peserta mendapat kerjasama daripada pasukan polis trafik dari Balai Polis Rantau Panjang untuk mengawal lalu lintas bagi memastikan keselamatan peserta, selain melancarkan pergerakan perarakan tersebut.
Program turut dimeriahkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan azan, mewarna serta kuiz agama melibatkan kanak-kanak.

Hadiah dan cenderahati disampaikan penceramah bebas, Khairul Faris Abdul Aziz dari agensi Andalusia Travel and Tours pada akhir sesi ceramahnya.
Pertandingan azan dinobatkan Nik Ahmad Aqif Nik Nor Ahmad sebagai johan. manakala naib johan, Afiq Haikal Mohd Hafizi serta Muhammd Faris Fahiman di tempat ketiga.
Semua pemenang di bawah kategori tujuh hingga 12 tahun, manakala kategori 13 hingga 15 tahun turut dimenangi
Muhammad Syafi Saludi (johan), Muhd Fadhlu Irsyad Adnan (naib johan) serta Muhd Syahmi Fida’i (ketiga).
Pertandingan mewarna kategori tujuh hingga 10 tahun pula menobatkan johan kepada Sharifah Zarith Sofea Abdullah, diikuti Nurin Aisyah Mohd Zawawi (naib johan) dan Nur Amira Hanan Nabila Mohd Nooriman (ketiga).
Juara mewarna kategori 11 hingga 15 tahun dirangkul oleh Nik Irin Arini Jafri, naib juara, Nur Qisya Rania Othman dan tempat ketiga Nur Diana Fazlynn Amelena Roslan. Hadiah sagu hati turut disampaikan kepada semua peserta pertandingan.
Anugerah Tokoh Maulidur Rasul turut disampai kepada Bukhari Derahman dan Wan Norma Wan Ishak (tokoh wanita).
Imam Muda, Ahmad Zakwan Yusoff melahirkan rasa kagum di atas kerjasama dan perpaduan penduduk ditunjukkan setiap program mewujudkan suasana harmoni serta silaturahim bertambah kukuh dalam masyarakat.
“Saya akan meneruskan program seperti ini serta program-program lain pada masa akan datang demi keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dalam mukim ini.” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252