KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memuji dan menyokong keputusan pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) menolak MoU dikemukakan kerajaan Perpaduan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, keputusan itu dibuat kerana peruntukan itu disertakan dengan syarat.
“Pembangkang menyifatkan peruntukan bersyarat itu seolah menyekat mereka mengkritik dan menegur kerajaan Perpaduan dan ini juga merupakan suatu sogokan serta jenayah dalam Akta Rasuah.
“Penolakan itu juga sudah pasti negara perlu ada barisan pembangkang yang benar-benar bebas untuk menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan.
“Lagipun, terima sogokan boleh merugikan kepentingan umat Islam dan Melayu serta bumiputera, yang sekali gus sesuatu yang tidak bermoral dan dimurkai Allah,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Menurut Syed Hassan, sepatutnya kerajaan Madani yang pernah berjanji sebelum PRU15, jika mereka menjadi kerajaan, semua kawasan Parlimen akan mendapat sama rata peruntukan termasuk kawasan pembangkang tanpa ada syarat, ditunaikan.
“Zaman Barisan Nasional (BN) dulu, walaupun tak ada banyak parti kecil Melayu, kepentingan Islam Melayu dan bumiputera bertambah maju dan kaum lain terus boleh memperkayakan diri dengan kawasan pembangkang dibangunkan tanpa ada diskrimanasi.
“Lihatlah Parlimen Kepong, Bukit Bintang, Seputeh, Batu dan lain-lain kawasan DAP membangun dengan begitu pesat, di mana banyak infrastruktur dibina seperti MRT, LRT, Monorel, pembesaran jalan raya sehingga enam lorong setiap hala.
“Tidak cukup dengan itu, sekolah, padang futsal, dewan dan sebagainya dibina tanpa mengira kawasan itu dijaga oleh pembangkang. Itulah BN,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, rakyat menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lebih hebat lagi dari segi sifat membantu peruntukan untuk rakyat dalam kawasan pembangkang, tetapi rupanya indah khabar rupa dan sekadar cakap tak serupa bikin. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252