BERITA UTAMA
Pengikut GISBH di Kedah jalani program pemantapan akidah tahun lalu

Pengikut GISBH di Kedah jalani program pemantapan akidah tahun lalu

ALOR SETAR – Pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) pernah mengikuti program pemantapan akidah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) pada tahun lalu.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani@ Zulkifli Zainuddin, berkata penganjuran Program Kenegaraan Anak Muda itu membabitkan golongan belia GISBH dikenali sebagai Remaja Pembela Ummah Muslimah (RPUM).

“Seramai 50 peserta belia berumur 18 hingga 40 tahun dibimbing dalam program berkenaan yang diadakan selama dua hari bermula 31 Oktober 2023 di Kem Wawasan Negara, Kulim.

“Program ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dilaporkan berkata, polis sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung kegiatan kumpulan ini yang masih beroperasi di daerah Kuala Muda, Kubang Pasu dan Padang Terap.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sekolah, restoran dan taman asuhan membabitkan kumpulan berkenaan.

Abd Ghani berkata, program itu memberi penekanan kepada remaja dan belia GISBH mengenai bahaya penyelewengan akidah, selain implikasinya kepada keharmonian masyarakat dan keselamatan negara.

Bagaimanapun, katanya, tiada sesi kaunseling diadakan terhadap kumpulan berkenaan.

“JHEAIK sentiasa melakukan pemantauan terhadap aktiviti kumpulan GISBH dari semasa ke semasa,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *