KUALA LUMPUR: Menyertai jemaah tabligh tidak menjadi halangan buat pelakon Taiyuddin Bakar, 41, untuk menjadi vokalis band punk rock dan skinhead dikenali sebagai Uncure.
Biarpun bergelar vokalis kumpulan punk rock dan skinhead, namun ia bukanlah halangan buat Taiyuddin untuk berdakwah.
Taiyuddin berkata, cara seseorang itu berpakaian tidak menggambarkan keperibadian mereka.
“Nak menyampaikan iman dan amal tak menghalang kita untuk tampil dengan gaya apa sekali pun
“Bagi saya, tak guna kalau nampak macam warak, tapi iman lemah. Jadi saya nafikan penampilan saya bersama Uncure tidak selari dengan status sebagai jemaah tabligh.
“Meskipun dengan imej begini, saya masih lagi boleh berdakwah dan ia boleh disampaikan dalam pelbagai cara termasuk menerusi lirik lagu,” katanya.
Dunia muzik bukanlah asing bagi Taiyuddin kerana sebelum menyertai bidang lakonan terlebih dahulu menjadi penyanyi band underground, The Innocent.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak lagi aktif menyanyi kerana jadual lakonan yang padat.
“Ramai tidak tahu asalnya saya memang vokalis band underground, tetapi tidak aktif selepas bergelar pelakon.
“Lamaran sebagai vokalis band Uncure pada penghujung tahun lalu bagi saya hadir pada waktu yang tepat,” ujarnya.
Taiyuddin yang dikenali dengan filem Apa Celop Toq dan Hantu Bonceng bagaimanapun menafikan keputusan bergelar penyanyi berpunca daripada tawaran lakonan semakin berkurangan.
“Saya masih aktif berlakon dan tawaran lakonan sentiasa ada. Saya turut bakal membintangi beberapa filem yang akan ditayangkan, tidak lama lagi. Antaranya, filem Miftah Alam pada 19 September ini.
“Niat saya hanya ingin membawa band Uncure keluar dari kepompong underground dan cuba pasaran arus perdana,” katanya.
Band Uncure ditubuhkan pada 1996 dan sudah beberapa menukar ahli.
Uncure dianggotai oleh Anaz (gitar), Macik (dram), Hakim (bes) dan Taiyuddin selaku vokalis keempat mereka.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252