IPOH – Mahkamah Majistret Ipoh hari ini mengeluarkan perintah reman terhadap tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dan seorang ejen pekerja asing, kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah melalui Program Repatriasi Migran (PRM) bermula Mac hingga September tahun ini.
Sumber SPRM memaklumkan perintah reman dua hari bermula hari ini terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan Majistret Siti Nora Sharif selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi tadi mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Menurut sumber itu kesemua suspek terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun itu, ditahan di pejabat SPRM Perak pada 1.15 tengah hari hingga 7.15 malam, semalam.
“Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti meminta dan menerima wang rasuah antara RM50 sehingga RM300 daripada setiap pekerja asing yang ingin pulang ke negara asal secara sukarela, melalui program PRM.
“Wang tersebut adalah sebagai balasan untuk mempercepatkan kelulusan program itu dan dikatakan aktiviti berkenaan telah bermula dari Mac hingga September 2024,” menurut sumber SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252