KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menghina kewibawaan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah amat mendukacitakan.
Hakikatnya, selepas keputusan PRU ke-15 hampir dua tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas baginda meneliti sokongan Ahli-ahli Parlimen dan pandangan pakar Perlembagaan serta Majlis Raja-raja.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Pakatan Harapan (PH) selaku gabungan yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRU itu dengan 82 kerusi telah diberikan peluang membentuk kerajaan.
Namun, katanya, PN dan Muhyiddin telah menolak pembentukan kerajaan perpaduan walaupun idea itu telah diutarakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah.
“Anwar telah membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen menerusi usul percaya pada 19 Disember 2022, dan ketika ini disokong 153 Ahli Parlimen.
“Tindakan ini selari dengan maksud Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 40 (2) dan 43 (2), tetapi, ketika berlaku Langkah Sheraton dan sepanjang pentadbiran Muhyiddin, tidak pula berlaku usul undi percaya di Parlimen, kenapa Muhyiddin tidak berani ketika itu?
“Proses keabsahan sokongan majoriti seseorang Perdana Menteri ini sangat penting dalam amalan demokrasi tulen bagi mewujudkan kestabilan politik dalam keadaan tidak ada mana-mana parti memperolehi majoriti cukup iaitu 112 kerusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Faiz, kestabilan politik di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar telah mendorong Malaysia mencatatkan kejayaan dalam pelbagai aspek.
Antaranya, kata beliau, untuk dua suku tahun berturut-turut, KDNK negara telah melangkaui jangkaan pakar dan terbaharu, ianya melonjak 5.9 peratus pada suku kedua 2024.
“Susulan itu, OCBC, RHB Research, Hong Leong Investment Bank Research dan BMI Research, antara lain telah menaikkan ramalan pertumbuhan KDNK untuk tahun ini.
“Begitu juga, pasaran saham Bursa Malaysia sedang melonjak. Sejak pertengahan 2023 sehingga sekarang, FBM KLCI telah meningkat lebih 19 peratus.
“Ringgit pula telah mengukuh ke paras 4.37 berbanding US dollar dan ringgit adalah matawang paling berprestasi positif tahun ini dalam kalangan matawang Asia,” ujar beliau.
Oleh itu, katanya, Muhyiddin dan PN harus berhenti membangkitkan isu keabsahan Perdana Menteri.
Kata beliau, berhentilah daripada mengelirukan rakyat dengan fakta dan undang-undang yang tidak meyakinkan.
“Rakyat seharusnya dididik untuk fokus kepada usaha membangunkan negara dan pemulihan ekonomi. Agenda ini yang sedang diusahakan Anwar bersama pasukan Kerajaan Perpaduan yang seharusnya mendapat sokongan dan pengiktirafan semua pihak,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252