SHAH ALAM – Penduduk perumahan Dillenia, Seksyen U11 di sini, digemparkan dengan penemuan satu mayat wanita dalam longkang besar berhampiran penempatan itu, semalam.
Mayat yang hanya berpakaian baju dan seluar dalam itu ditemukan dalam keadaan terapung oleh orang awam kira-kira jam 6.30 petang, yang kemudian memaklumkan kepada polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, setakat ini identiti mayat itu belum dapat dikenalpasti kerana keadaannya sudah reput dan berulat.
“Pemeriksaan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ke atas badan mayat itu tiada kesan pergelutan atau lain-lain kecederaan yang boleh menyebabkan kematian si mati,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, mayat itu kemudian dihantar ke forensik Hospital Shah Alam *HAS) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai mangsa atau kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Izzman Mohd. Idrus di talian 013-4003355. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252