KUALA LUMPUR – Ungkapan sesetengah pihak bahawa Islam tidak menganjurkan kemajuan adalah salah faham agama yang mengelirukan, kata Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Faiz Fadzil.
Kata beliau, tanpa kemajuan, bagaimana pula dengan tamaddun Islam yang dibina oleh empayar besar Islam sepertimana Abbasiyyah di tahun 750 hingga 1258 M dan Uthmaniyyah tahun 1299 hingga 1923 M.
Jelasnya, kefahaman itu perlu diperbetulkan kerana kemajuan sesebuah negara atau negeri akan memberikan kesejahteraan kepada hidup rakyat.
“Tanggungjawab hakiki pemerintah atau kerajaan adalah menjamin kesejahteraan hidup rakyat.
“Menelusuri data pembangunan di Kelantan, taraf kehidupan rakyat dan prestasi ekonomi negeri itu masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain iaitu tiga daripada 10 isi rumah di Kelantan masih tiada akses air paip di rumah.
“Walaupun Islam menekankan kebersihan, hampir 30 peratus isi rumah Kelantan masih tidak menikmati perkhidmatan kutipan sisa domestik atau sampah.
“Ini juga dibuktikan dengan 50 peratus rakyat Kelantan di sektor formal bergaji bawah RM1,645 iaitu terendah di Malaysia sehingga ramai anak muda Kelantan mencari pekerjaan di negeri lain yang sering ditohmah liberal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Faiz turut menjelaskan, Kelantan adalah satu-satunya negeri yang mana KDNK per kapita berada bawah RM17,000 setakat 2023.
Katanya, dalam tempoh 2019 hingga 2022, pendapatan isi rumah penengah kumpulan B40 jatuh dari RM2,301 ke RM2,190, di mana menghampiri garis kemiskinan iaitu pada kadar RM2,297.
“Kelantan adalah satu-satunya negeri Semenanjung yang menyaksikan kadar kemiskinan mutlak “double-digit” pada 2022 iaitu sekitar 13.2 peratus.
“Manakala nilai eksport Kelantan adalah kedua terendah di Malaysia selepas Perlis, yang mana lebih 40 peratus eksport pada 2023 datang daripada petroleum mentah sahaja tanpa nilai tambah disebabkan industri tempatan tidak dibangunkan.
“Walaupun sering ditohmah oleh sesetengah pihak, kerajaan Madani di peringkat persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meminggirkan Kelantan atas prinsip federalisme dan keadilan,” katanya.
Beliau berkata, dalam Belanjawan 2024, Anwar telah memberikan Kelantan peruntukan tertinggi di Semenanjung dalam aspek infrastruktur.
Ini jelas apabila untuk tempoh 2023 hingga 2024 sahaja hampir RM5.4 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan di negeri itu.
Malah, ujar Faiz, antara 2023 hingga April 2024, kerajaan Madani telah menghulurkan wang ihsan hampir RM260 juta kepada kerajaan Pas, termasuk untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.
“Ironinya, ketika PN menjadi kerajaan persekutuan, Kelantan hanya menerima wang ihsan sebanyak RM196.5 juta pada tahun 2020 dan RM201 juta pada tahun 2021.
“Justeru, rakyat Kelantan terutama penduduk di DUN Nenggiri tidak harus melupakan kelemahan PN dan Pas.
“Kedudukan sosio-ekonomi rakyatnya tidak mencerminkan konsep ‘Baldatun Thayyibatun’ dalam surah Saba’ (ayat 15) dilaksanakan di Kelantan,” ujar beliau.
Menurutnya, Islam bukan sekadar ungkapan di bibir, tetapi harus dilihat membawa rahmat kepada umat.
“Bagaimana mencapai ‘warabbun ghaffur’ (firman Allah pada ayat yang sama) jika kemiskinan rakyat dan ketidakcekapan pentadbiran dan tatakelola masih tinggi?,” soal beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252