BERITA UTAMA
Dr. Maimunah dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur

Dr. Maimunah dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur

PUTRAJAYA – Datuk Seri Paduka TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu.

Beliau yang merupakan mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang akan memulakan tugasnya hari ini, selepas menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Pelantikannya mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Saya percaya, beliau adalah individu yang layak untuk menggalas amanah mengemudi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdasarkan pengalaman selama hampir empat dekad dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti tatkala mengetuai pelbagai institusi sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Ini termasuk pengalamannya sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

“Lebih membanggakan, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan ini,” kata Anwar.

Beliau berharap, pengalaman dimiliki Maimunah itu akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *