BERITA UTAMA
Pemilik kereta merah didakwa cuba culik budak, ini penjelasan polis

Pemilik kereta merah didakwa cuba culik budak, ini penjelasan polis

NILAI – Tular rakaman video mendakwa ada cubaan menculik seorang kanak-kanak dengan mengumpan wang RM100, dipercayai di sebuah taman perumahan di Tiara Sendayan, di sini, tiga hari lalu.

Klip video yang dimuatnaik di aplikasi TikTok itu antara lain mendakwa sebuah kereta berhenti di kawasan perumahan berkenaan sebelum memanggil kanak-kanak terbabit.

Ia turut disertakan keterangan ‘perhatikan kereta merah, percubaan untuk culik anak jiran, tetapi gagal sebab anak jiran bijak, dia terus lari balik’, selain memaklumkan penculik guna modus operandi menawarkan RM100 kepada kanak-kanak sasarannya.

Bagaimanapun, semakan ke atas akaun yang memuat naik video berkenaan mendapati klip kejadian yang dikatakan pada Khamis lalu itu sudah dipadamkan.

Mengulas dakwaan itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata semakan mendapati kereta yang kononnya digunakan ‘penculik’ sebenarnya milik jiran di taman perumahan itu.

“Setakat ini pihak kami tidak menerima laporan mengenai kejadian ini. Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kami mendapati kejadian itu bukan untuk tujuan culik seperti yang ditularkan.

“Sebaliknya, pemandu kereta berwarna merah berkenaan menegur kanan-kanak yang bermain basikal di jalan. Mereka tinggal di satu taman perumahan,” katanya ketika dihubungi BHNews, hari ini.

Justeru, Abdul Malik menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam berkongsi sebarang rakaman dan tidak terlalu teruja untuk mendapatkan tontonan.

“Jika benar kes cubaan atau culik, laporkan kepada polis. Jika tidak pasti, semak dahulu sebelum sebarkan kerana ia boleh mengundang rasa bimbang dalam kalangan penduduk,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *