BERITA UTAMA
Ismail dibunuh dengan peluru jarak dekat - Iran

Ismail dibunuh dengan peluru jarak dekat – Iran

TEHRAN – Pengawal Revolusi Iran pada Sabtu berkata Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh di Tehran menggunakan peluru jarak dekat dengan kepala peledak kira-kira 7 kilogram, dan berjanji akan membalas dendam.

Pembunuhan Ismail pada Rabu lalu telah menimbulkan kebimbangan kemungkinan konflik secara langsung antara Tehran dan musuh ketatnya, Israel di wilayah yang digegarkan oleh perang Israel di Gaza dan konflik yang semakin buruk di Lubnan.

Dia menyebut balas dendam atas pembunuhan pemimpin Hamas itu akan dilakukan secara “kejam dan pada masa, tempat, dan cara yang sesuai,” serta menyalahkan “rejim Zionis pengganas” atas kematiannya.

Iran dan Hamas menuduh Israel melakukan serangan yang mengorbankan Islam beberapa jam selepas beliau menghadiri majlis pelantikan presiden baharu Iran.

Sementara itu, Menteri Luar sementara Iran, Ali Bagheri Kani mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar menteri-menteri luar berikutan pembunuhan ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.

Agensi Berita Iran IRNA melaporkan bahawa Bagheri menerusi akaun rasmi X miliknya pada Jumaat mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu dan memberi amaran mengenai akibat jenayah sebegini oleh rejim Zionis Israel.

Haniyeh dibunuh dalam satu serangan di Tehran pada Rabu selepas menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.

Walaupun Hamas dan Iran menyalahkan Israel atas pembunuhan itu, Tel Aviv belum mengesahkan atau menafikan keterlibatannya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *