ALOR SETAR – Kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde tampil meluahkan kekecewaannya mengenai mutu pengadilan pada aksi separuh akhir pertama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berkesudahan skuad Kenari tumpas 1-2 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Menurut pemain dari Haiti berusia 35 tahun itu, skuadnya sepatutnya mampu mengikat penyandang juara berkenaan, namun terpaksa akur dengan keputusan pengadil perlawanan Muhammad Nazmi Nasaruddin yang tidak memihak skuad Sang Kenari.
Katanya, pada aksi tersebut terdapat kekasaran telah dilakukan terhadap pemain tengah Kedah Habib Haroon sebelum JDT memperoleh gol pertama pada minit ke-23 dan ia disusuli peluang sepatutnya mendapatkan sepakan penalti apabila bola dilihat terkena tangan pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad ketika hujung babak perlawanan.
“Selepas beraksi lima tahun di Malaysia, saya dapati ia cukup memalukan membabitkan keputusan yang dibuat pengadil perlawanan.
“Kami menjangkakan keputusan selepas menyamakan kedudukan 1-1 itu baik untuk kami terus hidup dalam perlawanan ini, tetapi keputusan yang tidak memihak kami berkaitan keputusan pengadil yang tidak memberikan penalti itu benar-benar mengecewakan kami.
“Bagi saya aksi ini adalah 50/50 dengan serangan yang kami lakukan dan JDT juga cipta banyak peluang. Tetapi yang membezakan kedua-dua pasukan adalah keputusan pengadil dan itu yang ‘membunuh’ aksi kami untuk mendapat kemenangan,” katanya selepas perlawanan.
Sony juga berkata, skuadnya sepatutnya mendapat keputusan yang lebih baik atau sekurang-kurangnya seri berdasarkan cabaran yang sudah diberikan di hadapan lebih 22,000 penyokong yang hadir ke Stadium Darul Aman.
“Saya akan terus menyatakan saya benar-benar kecewa dan sangat tidak gembira dengan keputusan pengadil itu. Jika sekurang-kurangnya jika kami dapat keputusan seri pun ia sudah cukup memadai buat kami,” katanya.
Dalam pada itu Sony turut mengakui, skuadnya bakal berdepan rintangan berliku pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Iskandar (SSI) pada 4 Ogos depan bagi menghidupkan peluang ke final Piala FA musim ini.
“Memang ini misi yang sukar tetapi dalam bola sepak tiada apa yang mustahil dan kami perlu terus bekerja keras serta mengikut setiap arahan penting yang akan dirancangkan oleh jurulatih bagi menghidupkan peluang dalam 90 minit yang masih ada,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252