MARITIM Malaysia sahkan pelanggaran 2 kapal berlaku di perairan Malaysia

MARITIM sahkan pelanggaran 2 kapal di perairan negara

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini, mengesahkan insiden pelanggaran dua kapal MT Hafnia Nile dengan MT Ceres 1, semalam, berlaku di kawasan perairan Malaysia.

Sehubungan itu, Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus berkata, dakwaan media republik itu yang menyatakan pelanggaran berkenaan berlaku dalam ‘wilayah mencari dan menyelamat maritim Singapura’, sebagai tidak benar.

Katanya, insiden pelanggaran dua kapal itu berlaku di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau pada jam 6.55 pagi, semalam.

“Mengikut peta kita, ia adalah jelas lokasi kawasan Perairan Malaysia. Sangat jelas. Batu Putih terletak 55 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Dakwaan media Singapura, pelanggaran berkenaan berlaku dalam ‘wilayah mencari dan menyelamat maritim Singapura’ adalah tidak benar,” katanya pada sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili yang dilaporkan BHNews hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Azmi Ab Rahim.

Semalam, Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura mengeluarkan kenyataan melaporkan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari kru dua kapal tangki minyak selepas kedua-dua kapal itu terbakar di perairan Singapura, yang kemudian dilaporkan secara meluas media republik itu.

MPA mendakwa kedua-dua kapal tangki itu berada dalam kawasan mencari dan menyelamat maritim Singapura, kira-kira 55 kilometer (km) dari timur laut Batu Putih yang mengeluarkannya sebagai Pedra Branca.

“Sebuah kapal Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN), RSS Supreme, yang berada di sekitar tempat kejadian menghulurkan bantuan.

“Sebuah helikopter Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) juga telah dikerahkan dan sedang membantu memindahkan anak kapal,” menurut kenyataan MPA berkenaan.

Semalam, Maritim Malaysia Johor dilaporkan menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) susulan insiden pelanggaran kapal MT Hafnia Niledengan MT Ceres 1, awal pagi.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim

Datuk Saiful Lizan Ibrahim, dilaporkan berkata, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini, bagi mengkoordinasikan pencarian. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *