Dari Syarahan yang Tular kepada Pertikaian Penamatan: Kronologi Kes Dr. Solehah dan UIAM

Dari Meja Editorial

APA yang pada asalnya hanya sebuah syarahan akademik, akhirnya berkembang menjadi kontroversi lebih besar, melibatkan persoalan sejarah, kebebasan akademik, integriti penyelidikan dan bidang kepakaran.

Kes yang mengaitkan Dr. Solehah Yaacob dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini turut melalui proses inkuiri dalaman sebelum berakhir dengan penamatan perkhidmatannya.

Segalanya bermula dengan sebuah syarahan yang disampaikan Dr. Solehah mengenai kemungkinan masyarakat Rom mempelajari teknik pembinaan kapal dan pelayaran daripada masyarakat Alam Melayu.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Pada ketika syarahan itu disampaikan, ia tidak mencetuskan kontroversi besar. Namun, keadaan berubah apabila rakaman lama tersebut dimuat naik semula ke media sosial. Potongan video dengan tajuk “Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu” mula mendapat perhatian dan kemudiannya tersebar secara meluas.

Apabila video itu menjadi tular, perdebatan mengenai kandungannya turut berkembang. Persoalan mula timbul mengenai sejauh mana dakwaan tersebut disokong oleh bukti sejarah, sumber digunakan serta bidang kepakaran yang relevan.

Sebahagian ahli akademik mempersoalkan sumber dan kaedah digunakan untuk menyokong pandangan berkenaan. Kontroversi itu kemudiannya turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang mengingatkan ahli akademik supaya berhati-hati apabila memberikan pandangan di luar bidang kepakaran masing-masing.

Menurut beliau, kebebasan bersuara dalam dunia akademik perlu bergerak seiring dengan disiplin ilmu bagi memastikan kredibiliti dan integriti akademik terus dipelihara.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Dalam perkembangan seterusnya, UIAM tampil memberikan penjelasan, kenyataan Dr. Solehah adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti.

Universiti turut menyatakan rasa kesal terhadap kekeliruan yang berlaku susulan penyebaran rakaman berkenaan dan memaklumkan semakan dalaman akan dijalankan.

Dr. Solehah bagaimanapun mempertahankan pandangannya. Beliau menjelaskan apa yang dikemukakan bukanlah sesuatu yang didakwa sebagai fakta muktamad, sebaliknya merupakan hipotesis penyelidikan yang telah dibangunkannya sejak menamatkan pengajian PhD.

Menurut beliau, hipotesis itu dibentuk berdasarkan sumber Arab klasik serta beberapa penulisan berkaitan teknologi kapal di Asia Tenggara. Beliau juga mengakui hipotesis tersebut boleh jadi benar dan boleh jadi salah, tetapi berpendapat ia sewajarnya dibahaskan melalui kaedah dan ruang akademik.

Dalam mempertahankan pendiriannya, Dr. Solehah turut mendakwa dirinya menjadi mangsa “media lynching”. Beliau pada masa sama menafikan dakwaan pernah mengatakan Saidatina Khadijah berasal dari Alam Melayu.

Kontroversi tersebut akhirnya turut dibawa ke Parlimen. Pada ketika itu, perbincangan sudah tidak lagi terbatas kepada persoalan sama ada masyarakat Rom mempelajari teknologi kapal daripada masyarakat Alam Melayu.

Sebaliknya, isu tersebut telah berkembang kepada persoalan yang lebih luas, sejauh mana seseorang ahli akademik boleh mengemukakan pandangan di luar bidang pengkhususannya, apakah batas kebebasan akademik dan sejauh mana tanggungjawab seorang ahli akademik apabila sesuatu pandangan disampaikan kepada masyarakat umum.

Bagi meneliti perkara tersebut, UIAM kemudiannya menubuhkan sebuah panel inkuiri dalaman. Panel itu dipengerusikan Prof. Datuk Dr. Ahmad Faris Ismail, manakala dua lagi anggotanya ialah ahli sejarah Prof. Dr. Zaid Ahmad dan Dekan ISTAC, Prof. Dr. Hazizan Noon.

UIAM menjelaskan, panel berkenaan ditubuhkan untuk meneliti isu tersebut secara menyeluruh dan bebas berdasarkan terma rujukan berkaitan integriti akademik. Dapatan dan syor panel kemudiannya akan diserahkan kepada pihak berkuasa disiplin universiti untuk tindakan selanjutnya.

Namun, proses inkuiri itu sendiri kemudiannya menjadi sebahagian daripada pertikaian.

Menurut Dr. Solehah, beberapa mesyuarat inkuiri telah dijadualkan. Beliau mendakwa tidak dapat menghadiri dua mesyuarat awal kerana dimasukkan ke wad dan mempunyai sijil cuti sakit. Bagi mesyuarat berikutnya pula, beliau berkata mempunyai program yang telah ditetapkan lebih awal dan telah meminta supaya tarikh tersebut ditukar.

Pertikaian berhubung proses dalaman universiti berterusan apabila Dr. Solehah mendakwa menerima surat tunjuk sebab yang menggunakan kepala surat Unit Guaman UIAM, tetapi tidak mempunyai nama penghantar. Beliau mendakwa meminta supaya surat tersebut diperbetulkan terlebih dahulu.

Beliau turut mendakwa wujud perbezaan antara keputusan panel inkuiri dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Disiplin. Dakwaan mengenai proses ini kemudiannya menjadi sebahagian daripada versi beliau dalam mempertikaikan tindakan universiti terhadapnya.

Perkembangan seterusnya membawa kepada penamatan perkhidmatan.

Menurut Dr. Solehah, beliau menerima satu pengiktirafan berkaitan MyRA sebelum kemudiannya dimaklumkan mengenai penamatan perkhidmatannya oleh UIAM.

Beliau mendakwa surat penamatan diberikan dengan notis 24 jam, tanpa peluang untuk merayu dan tanpa pernah menerima surat amaran sebelumnya.

Sejak itu, hubungan antara kedua-dua pihak memasuki fasa baharu. Pertikaian tidak lagi hanya berkisar mengenai kandungan syarahan atau persoalan akademik, tetapi turut melibatkan persoalan prosedur disiplin, hak pekerja dan kesahan proses penamatan.

Beberapa bulan kemudian, nama Dr. Solehah kembali menjadi perhatian apabila beliau mengemukakan pandangan berkaitan “Besi Dari Langit” yang mengaitkan kekayaan bijih besi Kedah purba dengan kemungkinan aktiviti meteor.

Perkembangan itu mendorong UIAM sekali lagi mengeluarkan penjelasan bahawa Dr. Solehah bukan lagi kakitangan akademik universiti. UIAM turut menegaskan penggunaan jawatan atau afiliasi rasmi universiti dalam bahan promosi, penerbitan dan media sosial tidak lagi dibenarkan.

Dr. Solehah pula kemudiannya mendedahkan dengan lebih lanjut versi beliau mengenai proses inkuiri dan penamatan perkhidmatan. Beliau juga menyatakan menolak tawaran pampasan bersamaan enam bulan gaji dan berhasrat mencabar keputusan penamatan tersebut di Mahkamah Perusahaan.

Daripada sebuah rakaman syarahan yang kembali tular, kes ini akhirnya berkembang menjadi pertikaian yang jauh lebih besar.

Ia menyentuh bukan sahaja mengenai satu teori sejarah, tetapi juga mengenai kebebasan akademik, tanggungjawab ilmuwan, integriti penyelidikan, kuasa institusi, prosedur disiplin dan hak seseorang pekerja untuk mendapatkan proses yang adil.

Dalam keadaan kedua-dua pihak mempunyai penjelasan dan pendirian masing-masing, persoalan sebenar mengenai kes ini akhirnya perlu dinilai berdasarkan dokumen, bukti, prosedur dan saluran undang-undang yang sah.

Apa yang pasti, kontroversi ini menunjukkan bagaimana satu pandangan akademik yang pada asalnya disampaikan dalam ruang syarahan boleh berubah menjadi isu nasional apabila rakamannya tersebar di media sosial.

Semoga segala persoalan yang masih berbangkit dapat diselesaikan melalui proses yang telus, adil dan berasaskan bukti, tanpa menafikan hak mana-mana pihak untuk mempertahankan pendirian masing-masing.

Lebih penting, apa jua keputusan akhirnya diharapkan dapat memberikan penyelesaian terbaik kepada semua pihak terlibat. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *