Pakar kardiologi tidak benarkan Dr Mahathir keluar hadiri prosiding saman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, pakar kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) tidak membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada pusat itu, bagi menghadiri prosiding perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dr Mahathir memfailkan saman fitnah itu terhadap Ahmad Zahid pada tahun 2022 kerana mempersoal asal usulnya, ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Hari ini sepatutnya hari pertama perbicaraan kes saman berkenaan selepas prosiding pada 13 Februari lalu ditangguhkan kerana Dr. Mahathir tidak sihat dan diberi sijil cuti sakit oleh IJN.

Peguam Dr. Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi memaklumkan bekas Pengerusi BERSATU itu yang masih menerima rawatan di IJN sejak Isnin lalu, tidak dibenarkan keluar oleh pakar kardiologi (untuk hadir prosiding).

Peguam itu berkata, Dr Mahathir yang pulang dari London pada 14 Julai lalu, dimasukkan ke IJN pada keesokannya selepas mengalami masalah pernafasan, dan pihaknya menerima pengesahan daripada pakar kardiologi pada petang 16 Julai lalu bahawa beliau tidak dibenarkan keluar, lapor BH.

Melalui surat yang yang dihantar peguam kepada mahkamah pada 17 Julai lalu, menyatakan bekas perdana menteri itu mengadakan lawatan ke luar negara, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Mior Nor memohon kepada mahkamah untuk melapangkan tarikh perbicaraan pada hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong melapangkan tarikh perbicaraan pada hari ini dan menangguhkan perbicaraan kepada 26 dan 27 Ogos ini, dan 29 serta 30 Oktober ini.

Menurut Techiong, semua pihak tidak meragui kesahan surat berkenaan dan memandangkan keadaan Dr Mahathir yang sudah berusia dan keadaan kesihatan tidak menentu.

Beliau turut meminta peguam Dr Mahathir untuk menasihatinya supaya tidak ke luar negara menjelang tarikh perbicaraan.

Beliau turut mengarahkan supaya saksi plaintif kedua, iaitu Datuk Seri Mukhriz memberikan keterangan jika bapanya masih tidak sihat pada tarikh selanjutnya.

Prosiding turut dihadiri peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, mewakili Ahmad Zahid, yang menyatakan rasa simpati terhadap keadaan Dr Mahathir.

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, yang juga Presiden UMNO sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir berkata, beliau percaya dengan sesungguhnya individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoal dan diragui.

Katanya, ia juga difahamkan beliau ialah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika semasa memegang jawatan awam serta tidak layak untuk menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *