HULU SELANGOR – Polis percaya kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di sini, adalah lokasi Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dipercayai dibunuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain, namun pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan mereka.
“Kita percaya ia berlaku di sini (lokasi kejadian) dan dilakukan suspek seorang.
“Motif dalam siasatan lagi dan tidak boleh bagi satu keputusan yang terlalu awal, namun kita percaya kes pembunuhan berlaku di sini, maksudnya sini ialah ‘primary scene’,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Hussein berkata, penahanan suspek berusia 26 tahun itu pada 15 Julai lalu telah membawa kepada penemuan mayat Nur Farah Kartini di lokasi kejadian, selain barang bukti.
“Suspek kita tahan, siasat dan membawa kepada penemuan mangsa dan beberapa barang bukti,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, operasi pencarian bahan bukti di lokasi hari ini menemukan sebuah telefon bimbit dalam kawasan parit yang dipercayai dapat membantu siasatan.
“Operasi pencarian bahan bukti lain akan diteruskan sehingga pasukan siasatan berpuas hati dengan bahan siasatan.
“Operasi membabitkan pasukan forensik serta unit anjing pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di lokasi kejadian.
Beliau pada masa sama memaklumkan, operasi juga akan diteruskan di satu lagi lokasi di kawasan Perak yang jaraknya kira-kira 20 minit dari lokasi mayat ditemui.
Sebelum ini dilaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang, Isnin lalu.
Mangsa dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Susulan itu, suspek juga bekerja sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal bertugas di Balai Polis Slim River, Perak ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seramai 26 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Menurut Hussein, antara saksi yang dirakam keterangan mereka termasuklah rakan Allahyarham Nur Farah Kartini, rakan sekerja suspek dan saksi awam.
“Setakat ini kita percaya suspek yang ditahan merupakan suspek tunggal dalam kes ini.
“Operasi mencari bahan bukti turut melibatkan K9, manakala Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik akan mencari di satu lagi lokasi di Perak, kira-kira 20 minit dari lokasi ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, reman suspek yang akan tamat Isnin ini kemungkinan akan disambung lagi dan suspek yang juga anggota polis kini ditahan kerja secara automatik.
Hussein turut berkata, laporan bedah siasat mangsa belum diperolehi dan pihaknya masih menunggu keputusan daripada pihak hospital dan makmal.
Mayat mangsa katanya, kini masih di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh dan beberapa prosedur perlu dilakukan termasuk ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Jabatan Kimia berikutan pengecaman mayat yang tidak dapat dilakukan secara visual.
“Mayat mangsa akan diserahkan kepada keluarga bergantung kepada ujian padanan DNA menerusi ibu dan adik-beradik mangsa yang akan dilakukan Jabatan Kimia.
“Saya rasa (mayat) tidak dapat dibawa keluar hari ini, mungkin mengambil masa beberapa hari lagi dan dalam masa sama kita akan meminta Jabatan Kimia percepatkan proses tersebut,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252