Istiadat Pertabalan Agong: Orang ramai dinasihat tidak cemas dengar tembakan meriam

Istiadat pertabalan YDPA: Orang ramai dinasihat tidak cemas dengar tembakan meriam

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya warga kota dinasihatkan tidak cemas jika terdengar bunyi tembakan meriam ketika memandu di sepanjang Jalan Sultan Abdul Halim pada pagi Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri, Mohd Faidz Sanusi berkata, pada jam 8.30 pagi Jumaat ini, sebanyak dua das tembakan meriam akan dilepaskan sempena raptai penuh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

“Pada hari Sabtu iaitu hari sebenar Istiadat Pertabalan, sebanyak 21 das tembakan meriam akan dilepaskan juga pada jam 8.30 pagi. Jadi, sesiapa yang mendengar bunyi tembakan pada waktu itu janganlah cemas,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd Faidz berkata, acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula esok dengan Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat di Masjid Negara pada jam 5.30 petang diikuti Khutbah Jumaat Khas pada keesokannya.

Katanya, tetamu diraja yang dijangka berangkat ke istiadat pertabalan Sultan Ibrahim pada Sabtu ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Beliau berkata, acara lain ialah Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada Sabtu, manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenaan untuk berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai.

Mohd Faidz turut berkata, Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai dan dibuka kepada umum sehari selepas itu hingga 2 Sept yang memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat kira-kira 130 koleksi diraja sama ada peringkat Persekutuan ataupun negeri Johor.

“Antaranya ada regalia Persekutuan, manuskrip Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor, selain koleksi peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah,” katanya.

Acara-acara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong akan diakhiri dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai di Istana Negara.

Mohd Faidz berkata Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong merupakan istiadat penuh simbolik dan satu upacara yang julung kali dapat disaksikan kerana diadakan hanya lima tahun sekali.

Beliau berkata ia merupakan peluang yang baik untuk rakyat Malaysia memahami lebih mendalam dan memupuk rasa cinta terhadap institusi diraja dan cara ia diamalkan di Malaysia di bawah konsep Raja Berperlembagaan.

“Seperti diumumkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, wayang pacak akan dipasang di semua 222 kawasan Parlimen pada 20 Julai ini bagi menayangkan siaran secara langsung istiadat pertabalan, ambillah peluang ini untuk menontonnya kerana ia penuh adat dan tradisi, sesuatu yang perlu dihayati,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *