BANGKOK – Polis Thailand menemui tiga lelaki dan tiga wanita maut di sebuah bilik hotel terkemuka di kawasan Ratchaprasong di sini semalam, dipercayai akibat keracunan.
Mangsa dilaporkan dua warga Amerika Syarikat berketurunan Vietnam, manakala empat lagi warga Vietnam.
Dalam maklum balas segera, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Jeneral Polis, Porsak Sukvimol, untuk menyiasat kes itu dengan segera dan menyeluruh.
Arahan turut dikeluarkan bagi mengambil alih kawalan keadaan bagi memastikan tiada kesan buruk atau bahaya kepada orang awam dan pelancong.
Bercakap kepada media di lokasi kejadian pada malam Selasa, Srettha berkata, semua mayat itu ditemui pada jam 4.30 petang.
Beliau berkata, siasatan awal polis menunjukkan mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 24 jam disyaki akibat keracunan kerana tiada tanda-tanda trauma atau rompakan.
Srettha yang diiringi Torsak berkata, beliau juga telah memberi taklimat kepada Duta Vietnam ke Thailand Pham Viet Hung mengenai kes itu.
Polis Thailand sedang menyiasat kes itu dengan meneliti rakaman CCTV dan menemu bual saksi untuk menentukan punca kematian. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252