SELAYANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh bekas ahli mereka tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, disebabkan itu Kerajaan Perpaduan didakwa sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Anti Lompat Parti, yang diperjuangkan mereka sendiri.
AWANI melaporkan Muhyiddin turut mendakwa, gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan sedang rosak dan merosakkan sesama sendiri kerana perbezaan asas parti.
“Mereka takut dengan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang disandang oleh bekas ahli Bersatu atau pengkhianat yang berpaling tadah walaupun tindakan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“… mereka sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan yang mereka sendiri perjuangkan dan gubal kerana mereka takut kalah,” kata beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional.
Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Bersatu yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.
Kata Muhyiddin, ahli parti kerajaan sedang mempertikaikan tindakan pemimpin mereka yang sanggup menggadai prinsip perjuangan parti demi kepentingan peribadi.
Malah, beliau mendakwa, terdapat ahli parti kerajaan mahu berhijrah kerana tidak sanggup lagi bersekongkol dengan pemimpin yang mengkhianati perjuangan parti.
“Ahli parti mereka sedang mencari wadah baharu yang boleh dipercayai. Antaranya ialah pasti kita Bersatu dan kita wajib menyambut mereka dengan hati yang terbuka atas dasar kebersamaan dalam perjuangan,” ujarnya lagi.
Konvensyen bertemakan ‘Mendukung Idealisme, Memperkasa Kesatuan, Membina Kekuatan’ turut dihadiri barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pemimpin sayap dan akar umbi di peringkat bahagian.
Agenda konvensyen berkenaan adalah memberi taklimat terkini mengenai peraturan persidangan Bersatu peringkat cawangan, bahagian dan pusat, selain melancarkan konsultasi nasional dalaman parti mengenai dokumen ‘Idealisme Perjuangan Bersatu’ yang menggariskan prinsip dan falsafah perjuangan parti. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252