BEIJING – Sekurang-kurangnya enam maut apabila hujan lebat membadai beberapa kawasan di barat daya China ketika negara itu sedang mengalami musim panas dan cuaca ekstrem.
Hujan lebat melanda daerah Dianjiang, berhampiran bandar besar Chongqing, dari malam kelmarin hingga pagi ini, lapor agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan pegawai daerah.
Menurut penyiar negara China CCTV, memetik pejabat kawalan banjir daerah, empat maut dalam bencana banjir dan dua lagi mangsa dipercayai tenggelam setakat jam jam 1.50 tengah hari waktu tempatan.
Xinhua melaporkan, seorang daripada mereka terkorban selepas sebuah rumah runtuh, manakala sekurang-kurangnya tiga lagi terperangkap dalam tanah runtuh.
Hampir 7,000 penduduk terjejas akibat bencana berkenaan, manakala 170 penduduk lagi telah dimaklumkan untuk berpindah, lapor Xinhua.
Paras air hujan 254.6 milimeter (mm) telah direkodkan di bahagian Dianjiang iaitu jumlah maksimum harian tertinggi sejak ia mula direkodkan.
China sedang mengalami musim panas dengan cuaca ekstrem serta hujan lebat membabitkan kawasan timur dan selatan negara itu, manakala sebahagian besar di bahagian utara pula mengalami cuaca panas terik serta gelombang haba yang teruk.
China adalah negara pemancar utama gas rumah hijau di dunia yang dikatakan oleh saintis bahawa perkara itu telah mencetuskan perubahan iklim dan menjadikan cuaca semakin ekstrem.
Dalam pada itu, China sebagai negara membangun terbesar telah menetapkan sasaran yang mega iaitu mencapai puncak pelepasan karbon menjelang 2030 dan neutral karbon menjelang 2060. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252