Oleh Siti Khadijah Manudin
LIMBANG – Kerajaan terus memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak menerusi usaha peluasan prasekolah di seluruh negara termasuk pembinaan kelas baharu di kawasan luar bandar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam memastikan perkembangan holistik yang merangkumi aspek intelek, sosial, emosi, jasmani dan rohani.
“Pendidikan awal kanak-kanak penting untuk perkembangan holistik yang merangkumi aspek intelek, sosial, emosi, jasmani dan rohani. Ia menjadi landasan untuk menyediakan anak-anak sebelum memasuki alam persekolahan,” katanya menerusi hantarannya di Facebook.
Menurut beliau, semasa program Tindak Susul Parlimen di Limbang, beliau telah meninjau projek pembinaan dua buah kelas prasekolah baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Limbang yang kini hampir siap sepenuhnya.
Katanya, apabila mula beroperasi kelak, kemudahan itu dijangka meningkatkan akses pendidikan prasekolah kepada penduduk di kawasan berkenaan.
“Usaha peluasan prasekolah kami lakukan dengan bersungguh-sungguh. Pada tahun ini sahaja, sebanyak 350 buah kelas prasekolah baharu diwujudkan di seluruh negara,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan prasekolah sebagai asas utama pembangunan modal insan negara.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L