Sekuel The Devil Wears Prada bakal diterbitkan?

Sekuel The Devil Wears Prada bakal diterbitkan?

SEKUEL filem The Devil Wears Prada dilaporkan sedang dalam perancangan untuk diterbitkan.

Pelakon ternama Hollywood, Meryl Streep masih berada dalam senarai untuk kembali memikul peranannya sebagai Miranda Priestly iaitu editor majalah fesyen berpengaruh susulan kepada filem asal yang pernah ditayangkan pada 2006, lapor Puck News.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, belum diketahui sama ada aktres Anne Hathaway akan kembali dan memegang watak Andy Sachs dalam filem terbitan Disney itu.

Sementara itu, pelakon Emily Blunt pula difahamkan dalam perbincangan untuk kembali sebagai Emily Charlton.

Menurut laporan Variety, penulis skrip The Devil Wears Prada, Aline Brosh McKenna juga sedang berbincang untuk kembali dan menulis naskhah sekuel itu.

Sehingga kini, Disney belum membuat pengumuman rasmi.

Laporan awal menunjukkan filem itu akan mengisahkan Priestly menentang bekas rakan sekerjanya, Charlton yang menjawat jawatan sebagai eksekutif tertinggi di syarikat penerbitan majalah itu.

Naskhah asal The Devil Wears Prada diterbitkan berdasarkan buku paling laris jualannya oleh pengarang Lauren Weisberger.

Khabar penerbitan filem sekuel itu bertebaran hanya beberapa bulan selepas Hathaway dilihat seakan memperkecilkan idea berkenaan.

Kata Hathaway dalam saluran berita hiburan E! News: “Saya tidak fikir sambungan cerita itu mungkin akan berlaku.”

Pelakon itu mengakui dia “suka” melihat ketiga-tiga mereka kembali bersatu dengan pengarah David Frankel, namun baginya, The Devil Wears Prada harus dibiarkan pada kedudukan asal.

Kata Hathaway: “Hakikatnya ialah dengan mana-mana filem, apa yang boleh kita lakukan ialah membuatnya”.

“Sebab filem itu begitu istimewa adalah kerana kami berada dalam satu pasukan dan kami melakukan kerja itu… dan sebenarnya juga adalah kerana kecintaan yang dicurahkan oleh semua orang pada filem itu.

“Justeru, mari kita kekalkan perkara yang kita semua bersetuju dengan penuh kasih sayang.” Dalam The Devil Wears Prada, Hathaway memegang karakter Sachs iaitu pembantu peribadi Priestly. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *