Tengku Hasanal Ingatkan Semua Pihak Henti Mainkan Isu 3R

KUANTAN – Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan peringatan tegas kepada semua pihak agar menghentikan budaya memainkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) yang disifatkan mampu menggugat keharmonian serta kestabilan negeri dan negara.

Baginda menegaskan, sebarang tindakan yang sengaja membangkitkan kebencian antara kaum dan agama tidak boleh diterima sama sekali, lebih lagi dalam suasana politik yang semakin menghampiri pilihan raya umum akan datang.

Menurut baginda, semua pihak termasuk yang berada dalam kedudukan politik perlu lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan kenyataan, selain menjunjung nilai hormat, toleransi serta mematuhi undang-undang.

“Saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan.

“Keharmonian rakyat mesti dipelihara dan tidak dijadikan punca kepada persengketaan antara kaum dan agama,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Kuantan hari ini.

Dalam titah tersebut, Tengku Hassanal turut mengingatkan tiada mana-mana pihak boleh bertindak melangkaui undang-undang dalam menangani isu yang berpotensi menjejaskan keamanan negeri.

Baginda menegaskan, perkara berkaitan pembinaan rumah ibadat sama ada di atas tanah kerajaan atau persendirian perlu ditangani mengikut saluran undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

Titah baginda, tindakan bersifat provokasi atau dipengaruhi emosi hanya akan menambahkan lagi ketegangan serta mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Jangan bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa yang boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri,” titah baginda lagi.

Dalam masa sama, Tengku Hassanal turut menegur sikap segelintir wakil rakyat yang hanya dilihat aktif turun padang apabila hampir musim pilihan raya.

Baginda menegaskan, tugas wakil rakyat bukan sekadar hadir ketika kempen, sebaliknya perlu sentiasa mendampingi rakyat dan menyelesaikan masalah mereka sepanjang masa.

Menurut baginda, semua Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin politik perlu lebih rajin turun ke jabatan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan segala aduan rakyat dapat diselesaikan dengan cepat dan berkesan.

“Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini,” titah baginda.

Baginda turut melahirkan rasa kecewa apabila isu-isu asas melibatkan kemudahan awam masih gagal diselesaikan sehingga terpaksa dibawa sendiri kepada perhatian pihak istana.

Antara isu yang disebut termasuk masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah dan penebangan pokok.

“Kalau perlu turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil yang dipilih rakyat.

“Bekerjalah bersungguh-sungguh dan laksanakan amanah dengan penuh dedikasi serta integriti,” titah baginda.

Menjelang pilihan raya umum akan datang, Tengku Hassanal menyeru semua pihak mengamalkan politik matang dan tidak menggunakan sentimen perkauman atau keagamaan demi meraih sokongan.

Baginda bertitah bahawa pembangkang perlu memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif manakala kerajaan pula wajib memastikan kebajikan rakyat terus terbela tanpa ada golongan yang tercicir.

Menurut baginda, pada hari ini mahukan kestabilan, pentadbiran yang cekap dan penyelesaian terhadap masalah harian mereka, bukannya pertelagahan politik yang tidak berkesudahan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *